Tuesday, January 18, 2022

Sayap baharu PBB untuk orang muda bakal ditubuhkan

Secara Rawak

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menubuhkan sayap baharu untuk belia dengan keahlian berusia antara 18 hingga 28 tahun di negeri ini.

Ketua Menteri yang juga Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagaimanapun nama sayap itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Agung Parti PBB yang diadakan pada Jun nanti.

“PBB akan meminda perlembagaan parti susulan cadangan untuk mewujudkan sayap berkenaan dan sebuah jawatankuasa khas juga ditubuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kali Ke-13 di Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK) di sini.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, Parti PBB juga merupakan parti yang dinamik justeru, ahlinya sentiasa menyesuaikan diri dengan aspirasi golongan muda.

“Ini kerana Parti PBB berteraskan keadaan politik dan dasar ekonomi semasa,” katanya.

Abang Johari turut menzahirkan terima kasih kepada rakyat Sarawak kerana memberi kepercayaan dan keyakinan kepada GPS mentadbir Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi.

“Parti PBB dalam GPS akan berusaha melaksanakan segala yang terkandung dalam manifesto  Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12),” katanya.

Hadir sama Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar, Naib Yang di-Pertua Kanan PBB, Dato Sri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta ahli-ahli MKT lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru