Saturday, December 3, 2022

Rakyat Sarawak di Semenanjung yang terjejas banjir dapat bantuan

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghulurkan bantuan kepada rakyat Sarawak yang terjejas akibat banjir di Semenanjung. 

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bantuan ini akan disalurkan menerusi Rumah Sarawak. 

“Kita (Kerajaan Sarawak) akan membantu rakyat Sarawak yang terkesan akibat banjir di Semenanjung menerusi pejabat Rumah Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB Ke-13 pada Ahad.

Terdahulu, pada Disember lepas, seramai 68 keluarga yang berasal dari Sarawak dan terlibat dalam bencana banjir di Selangor, menerima bantuan bekalan makanan dan keperluan asas daripada Sarawak Volunteers dan Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (PPSKL).

Sumbangan disampaikan Pengarah PPSKL, Awang Supian Awang Daud, dengan kebanyakan keluarga terbabit tinggal di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam, iaitu seramai 47 keluarga.

Keluarga lain dari Sarawak yang tinggal di kawasan Klang, Balakong, Dengkil, Cheras dan beberapa kawasan lain di sekitar Shah Alam yang turut terjejas akibat banjir di Selangor turut menerima bantuan yang sama.

Penghantaran bantuan ini susulan arahan daripada Penaung Sarawak Volunteers yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, supaya rakyat Sarawak yang terjejas akibat banjir di Semenanjung dikenal pasti dan dibantu.

Turut sama hadir, Timbalan Presiden Parti PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar, Naib Presiden Kanan PBB Dato Sri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru