Friday, July 1, 2022

Laluan masuk muara Sungai Batang Baram yang cetek bakal diatasi

Secara Rawak

MIRI: Pelabuhan Miri kini sedang menghadapi masalah muara Sungai Batang Baram yang cetek dan keadaan ini menjejaskan operasi perkapalan.

Pengerusinya Paulus Palu Gumbang berkata, keadaan ini telah menjadikan pengendalian perkhidmatan pelabuhan amat mencabar dan menjejaskan pertumbuhan industri di kawasan Perindustrian Kuala Baram.

“Kami merayu agar Kerajaan Sarawak dapat membantu dalam menyelesaikan isu kedalaman muara Sungai Batang Baram.

“Banyak usaha telah dilakukan bagi mengatasi masalah ini. Kami telah menjalankan beberapa kajian dan melihat beberapa pilihan lain.

“Kami juga telah mengemukakan cadangan mendalamkan muara Sungai Batang Baram sejak 20 tahun lalu daripada Rancangan Malaysia Ke 8 (RMK-8) hingga RMK-12,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Lawatan Kerja Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak ke Lembaga Pelabuhan Miri, Kuala Baram pada Isnin.

Tambah Paulus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, pihaknya telah mempelbagaikan aktiviti perniagaan  dan mencatat keuntungan pada 2019.

Bagaimanapun, pada tahun 2020 hingga 2021, kesan penularan COVID-19 telah menyebabkan aktiviti pelabuhan menjadi perlahan dan menyusun kembali strategi pemulihan dengan mendapatkan lebih banyak aktiviti perniagaan dalam sektor minyak dan gas.

Selepas itu, satu taklimat Korporat Lembaga Pelabuhan Miri telah diadakan dan lawatan ke Pusat Sumber dan kawasan Operasi Lembaga Pelabuhan Miri.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata, Kerajaan Sarawak amat prihatin terhadap pembangunan industri di negeri ini khususnya kesan selepas penularan pandemik COVID-19.

Untuk itu, Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan Strategi Pembangunan Pasca COVID (PCDS) 2030 bagi memulih dan memacu pertumbuhan sosioekonomi menjelang tahun 2030.

“Dalam konteks industri pelabuhan, kita perlu meningkatkan kapasiti pelabuhan dan produktiviti dari segi perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur pelabuhan.

“Ini dapat dilihat apabila satu kementerian khas telah diwujudkan bagi menjaga pembangunan pelabuhan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap masalah laluan masuk muara Sungai Batang Baram cetek ini dapat diselesaikan segera untuk manfaat semua pengguna terutamanya industri yang beroperasi di kawasan Perindustrian Kuala Baram.

Turut dilawat MPA Crew Change Terrminal (MPACCT) Pulau Melayu, Lee Sing Wharf (Piasau), Shin Yang Wharf (Krokop 4), Sim Swee Joo Wharf (krokop 3) Serimas Logistics Wharf (Krokop 3) dan Miri Marina Terminal (Coco Cabana, Marina).

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri Serawa Budol.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru