Friday, August 19, 2022

Jumlah murid hadir menggalakkan, komitmen guru tinggi di SK Kelawit

Secara Rawak

TATAU: Sebanyak 83 peratus murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kelawit telah hadir ke sekolah pada hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga.

Menurut Guru Besar SK Kelawit Jainuddin Abdul Rahman, beliau sangat berbangga dengan jumlah murid yang hadir dan komitmen yang ditunjukkan guru-guru sekolah. 

“Saya amat berbangga dengan jumlah peratusan murid yang tinggi iaitu sebanyak 83 peratus.

“Daripada jumlah itu, 98 peratus masih menggunakan pakaian sekolah. 

“Ini menunjukkan ibu bapa dan murid itu sendiri telah bersedia  memulakan sesi persekolahan bagi sesi penggal ke 3 Tahun 2021,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan kehadiran murid-murid ke SK Kelawit pada Isnin. 

Mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) pembukaan sekolah, Jainuddin menjelaskan pihaknya telah membuat persediaan mengikut SOP Pengoperasian Sekolah 3.0 seperti yang disyaratkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM). 

“Ini termasuklah semua bilik darjah, asrama, dewan makan, kantin dan tandas kerap disanitasi, mengambil suhu badan semua murid yang hadir, memastikan penggunaan pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan fizikal serta membuat susunan meja dalam kelas mengikut penjarakkan, menyediakan pembersih tangan dan pengimbas suhu di setiap kelas masing-masing,” jelasnya lagi. 

SK Kelawit tidak menjalankan penggiliran persekolahan disebabkan jumlah murid di bawah 500 orang dan dibuat secara bersemuka. 

Dalam membanteras penularan COVID-19, pihak sekolah mengingatkan ibu bapa dan murid-murid supaya mematuhi SOP, mementingkan kebersihan dengan kerap mencuci tangan dan menjaga penjarakkan fizikal serta tidak bercampur di tempat yang sesak. 

Hadir sama Penolong Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau Sebauh Sigal Merikan dan Serina Keti, Pegawai Perhubungan SK Kelawit Inspektor Abdul Aziz Abdul Hamid dan Penolong Pegawai Perhubungan Koperal Muhamad Ridzwan Sarif.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru