Thursday, May 19, 2022

625 PPS boleh tampung 185,000 orang disediakan

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 625 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diwujudkan di seluruh negeri sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh yang melanda ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kesemua PPS itu boleh menampung sehingga 185,000 orang.

“Kami juga akan menyediakan lebih banyak PPS jika perlu, apa yang penting mangsa banjir mempunyai tempat untuk berpindah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan banjir Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Beliau menambah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 juga akan ditetapkan untuk menguruskan mangsa banjir di PPS.

“Ini termasuk ujian Covid-19 dan pengasingan mereka yang mempunyai simptom tetapi pada masa sama, rakyat sendiri juga perlu bertanggungjawab dalam mematuhi SOP,” katanya.

Sementara, Uggah berkata jentera JPBN termasuk di peringkat bahagian dan daerah telah bersiap sedia menghadapi banjir sejak November tahun lepas.

“Kita mempunyai 286 bot, 115 lori, 247 pacuan empat roda termasuk tiga helikopter yang mana dua daripadanya daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dan sebuah daripada polis.

“Operasi tindak balas banjir akan melibatkan lapan jabatan dengan tenaga kerja seramai 6,705 orang,” katanya.

Tambahnya, depo di Samarahan juga akan disediakan untuk menyimpan barangan tidak mudah rosak seperti tilam termasuk di Kuching, Samarahan dan Miri.

Beliau juga berkata pasukan bertindak kecemasan masyarakat akan digerakkan di kawasan tertentu seperti kampung.

“Pasukan ini adalah mereka yang akan dapat membantu mangsa untuk berpindah ke PPS sekiranya kakitangan daripada agensi atau jabatan berkaitan tidak sampai ke kawasan yang terjejas,” katanya.

Justeru, Uggah menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada pada musim tengkujuh terutama mereka yang tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir.

“Kita minta rakyat memberi kerjasama lebih-lebih lagi jika diminta berpindah dari kawasan mereka, kita harap mereka dapat berbuat demikian secepat mungkin.

“Tolong jangan tunggu sehingga air naik sehingga ke bumbung, itu sudah sangat kritikal.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru