Thursday, May 19, 2022

PBDSB tubuh cawangan di seluruh Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Parti Bansa Dayak Bersatu Baru (PBDSB) akan menumpukan perhatian dan meningkatkan usaha untuk menubuhkan cawangannya di seluruh Sarawak.

Presiden PBDSB Bobby William berkata, salah satu kawasan tumpuan ialah di Lubok Antu.

“Kami yakin terdapat ramai penyokong setia PBDSB veteran di Lubok Antu, walaupun pada masa ini mereka tidak aktif.

“Selain itu, kami juga percaya sejak PBDS lama tidak berfungsi, ahli mengharapkan parti itu dihidupkan semula di Lubok Antu yang pernah menjadi kubu kuat PBDS dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, perkara tersebut juga diputuskan susulan mesyuarat yang dihadiri oleh masyarakat Dayak dari seluruh negeri ini dengan menyaksikan kehadiran lebih 100 penyokong.

Menurut Bobby, sambutan yang baik terhadap pertemuan ini sememangnya satu petanda yang amat memberangsangkan untuk masa hadapan PBDSB sebagai parti Dayak.

Menjelas lanjut mengenai cawangan berkenaan, beliau menambah, penetapan cawangan parti itu tidak boleh ditafsirkan sebagai antikerajaan atau antiPakatan Harapan (PH).

“Kami memberi orang Dayak pilihan dan alternatif politik serta mewujudkan semula ‘akar’ kami di kubu kuat dahulu.

“Salah satu resolusi yang diguna pakai oleh parti ialah ikrar ahli mengenai komitmen mereka untuk menyokong parti dari segi kewangan dan fizikal semasa pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan PBDSB tidak pernah berniat untuk menggantikan Parti Rakyat Sarawak (PRS) kerana kedua-dua parti itu adalah pengganti kepada PBDS lama.

“Saya secara peribadi berharap berpeluang untuk bekerjasama dengan Datuk Joseph Salang (pemangku Presiden PRS).

“PBDSB percaya terlalu banyak isu yang melanda kaum Dayak pada masa ini yang memerlukan perbincangan meja bulat. “Kita perlu membangunkan modal insan dalam kalangan orang Dayak demi kelangsungan parti dan masyarakat Dayak amnya,” ujarnya.

Parti tersebut turut melancarkan Tabung Amanah Pendidikan Dayak, dengan tujuan untuk membantu pelajar muda Dayak yang memerlukan bantuan dari segi kewangan.

PBDSB juga mengumumkan persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) akan dijadualkan pada 26 Mac 2022.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru