Saturday, January 22, 2022

Tanggungjawab kolektif Kabinet Sarawak

Secara Rawak

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari  Tun Openg  mengambil masa 12 hari selepas keputusan PRN-12 diumumkan bagi mempertimbangkan dengan teliti kementerian dan komposisi menteri dan menteri mudanya. Pada PRN-11, Ketua Menteri  ketika itu Tan Sri Adenan Satem  mengambil masa enam hari untuk mengumumkan barisan kabinetnya.

Hal ini  bagi memastikan kabinet berkenaan dapat memastikan Sarawak berada di atas landasan yang tepat supaya agenda ekonominya dapat dicapai dengan berkesan ke arah menjadikan Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030. Justeru, pasukan yang sesuai perlu dibentuk bagi merealisasikan impian dan agenda berkenaan.

Beliau mengumumkan barisan kabinetnya selepas GPS meraih kemenangan besar dengan memperoleh 76 daripada 82 kerusi DUN. Kabinet itu terdiri daripada 10 menteri, termasuk tiga timbalan ketua menteri dan 26 menteri muda.

Mandat yang diberi oleh para pengundi pada PRN-12 lalu merupakan alat yang memberi kuasa kepada jemaah menteri atau kabinet legitimasi atau keabsahan untuk melaksanakan program.

Kuasa kabinet, sesuai dengan kuasa di bawah Perlembagaan Negeri, memberi kuasa dan hak kepada pihak eksekutif berkenaan mempunyai autoriti terhadap rakyat agar akur kepada segala dasar kerajaan berdasarkan pelbagai akta dan peruntukan. Kuasa berkenaan juga membolehkannya menggubal dasar dan melaksanakannya, berserta dengan peruntukannya sekali.

Dalam konteks ini, kabinet akan menggunakan segala sumber dan hasil negeri di bawah kawalannya bagi memastikan janji dalam manifesto dapat direalisasikan, sesuai dengan  peraturan dan undang-undang negeri berasaskan prinsip akauntabiliti.

Berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung, kabinet di Sarawak dan Sabah menggunakan gelaran menteri. Di Semenanjung Malaysia, mereka yang dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri atau Exco tidak dikenali sebagai menteri.  Hal ini bagi menghormati permintaan kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak sewaktu pembentukan Malaysia pada 1963.

Di kedua-dua negeri terbabit, kabinet negeri disusun mengikut kementerian, manakala di Semenanjung mengikut Majlis Mesyuarat. Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi Melaka dan Pulau Pinang, kemudiannya akan menetapkan portfolio yang disandang oleh setiap Exco. Di bawah setiap Exco atau Ahli Majlis pula diletakkan jabatan-jabatan dan kakitangan negeri.

Bagi Sarawak,  kuasa eksekutif kabinet atau kerajaan yang memerintah diuruskan dengan pengwujudan kementerian tertentu. Kementerian berkenaan pula diterajui oleh seorang menteri dan dibantu oleh menteri muda.  Menteri yang dilantik mewakili kementerian berkenaan ke mesyuarat kabinet setiap minggu.   Dalam mesyuarat inilah pelbagai dasar, rancangan, projek dan keputusan dibuat. Sebarang keputusan kabinet tidak boleh dikritik oleh anggota kabinet di luar mesyuarat kabinet.

Malah, rahsia kabinet tidak boleh didedahkan kerana kabinet beroperasi atas prinsip kerahsiaan. Malah, seluruh perbincangan kabinet dianggap rahsia, tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA). Itulah sebabnya, menteri malah menteri muda diwajibkan mengangkat sumpah seperti berlaku pada malam  4 Januari 2022.

Membentuk kabinet tentu bukan tugas yang mudah kerana ia perlu berpegang pada prinsip perkongsian kuasa.  Kepentingan dan tuntutan parti anggota dalam GPS perlu diambil kira meskipun pelantikan menteri atau menteri muda ialah prerogatif Ketua Menteri.

Kabinet  yang dibentuknya  bukan sahaja  inklusif, dengan mengambil kira kepentingan semua kaum dan kawasan, tetapi futuristik. Buktinya, beberapa kementerian telah disusun semula atau dijenamakan semula, malah terdapat kementerian baharu, Kementerian Tenaga dan Kemampanan Alam Sekitar.

Sesungguhnya, mandat besar  diiringi  ujian, cabaran dan tanggungjawab besar. Kabinet yang dibentuk itu tentunya mengambil kira 34 tekad dan janji dalam manifesto GPS dalam PRN-12 lalu. Dasar dan program kabinet tentu berasaskan manifesto berkenaan walaupun tidak dinafikan akan ada pembaharuan lain bakal diperkenalkan terutamanya dari segi dasar ekonomi dan pembangunan.

Amat penting bagi kerajaan untuk memastikan bukan sahaja tekad berkenaan dikotakan, tetapi tidak kurang penting ialah keperluan untuk mencetuskan inisiatif dan langkah baharu selaras dengan tuntutan dan berkembangan dalam tempoh lima tahun mendatang.

Dalam tempoh lima tahun menjadi Ketua Menteri, 110 inisiatif telah diperkenalkan oleh beliau, meliputi pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi, pembangunan prasarana dan wilayah, kebajikan, telekomunikasi, pelancongan dan pertanian.  Sudah pasti beliau akan memperkenalkan banyak lagi inisiatif sebelum PRN-13 nanti demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Untuk itu, amat penting untuk kabinet ini bergerak seiring sejalan, senada dan seirama dengan Ketua Menteri, sesuai dengan prinsip tanggungjawab bersama. Kabinet ini perlu memperlihatkan imej bersatu, sekata  dan sehaluan.  Maksudnya, ahi kabinet ini tidak boleh dilihat mendendangkan lagu yang sumbang.

Analoginya sama dengan pasukan bola sepak dengan setiap pemain perlu memainkan peranan sesuai dengan posisi atau kedudukan mereka supaya akhirnya mereka dapat menyumbatkan sebanyak mungkin gol. Bagi rakyat, mereka mendambakan kabinet yang penuh integriti, sentiasa berusaha membantu meringankan beban rakyat, berusaha memperkenalkan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri, serta prihatin terhadap nasib rakyat.

Kabinet ini hendaklah dilihat dan dipersepsi sebagai kabinet yang berfungsi, responsif, bertanggungjawab, dan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan berkesan. Kita sedar bahawa tidak mudah untuk memikul amanah berkenaan apatah lagi aspirasi dan harapan rakyat semakin meningkat. Rakyat juga semakin kritis, malah sinis terhadap ahli politik.

Terpulanglah kepada pemimpin politik, menteri dan menteri muda dalam kabinet ini untuk membuktikan bahawa mereka ialah pemimpin politik yang memiliki kualiti dan sikap yang sesuai dengan tuntutan rakyat.

Bagi 12 muka baharu yang ditampilkan, inilah peluang terbaik untuk mereka membuktikan bahawa mereka memang layak menduduki kerusi itu. Mereka perlu membantu menteri menjalankan tugas dan peranan kementerian dengan baik, dengan melaksanakan dasar, program dan inisiatif yang telah dan akan diperkenalkan.

Kejayaan, imej dan reputasi kementerian diterajui seseorang menteri, turut ditentukan oleh bagaimana prestasi menteri muda terbabit.  Dalam tempoh lima tahun, mereka perlu memanfaatkan peluang dengan sebaik mungkin untuk turut mempertajam bakat kepemimpinan. Mereka ialah pemimpin pelapis yang bakal menggantikan pemimpin kanan sekarang.

Ingat, kabinet ini bukan kabinet yang statik. Maksudnya, Ketua Menteri berhak melakukan rombakan, sesuai dengan keadaan dan perubahan yang berlaku. Namun, kita yakin mereka telah dipilih berdasarkan kriteria tertentu termasuk dari segi kelayakan akademik, pengalaman, kemahiran, bakat dan potensi.

Kabinet ialah hamba rakyat. Justeru, mereka perlu bertugas dan bertanggungjawab terhadap rakyat sesuai dengan mandat besar yang telah diberi oleh rakyat poada 18 Disember lalu.

Mereka tidak boleh gagal, apatah lagi mengecewakan rakyat dan pengundi. Mereka perlu memperlihatkan personaliti, watak, sikap dan tindakan yang betul.  Mereka perlu bekerja keras untuk memastikan Sarawak muncul sebagai negeri maju menjelang 2030 – agenda  utama yang menjadi impian Ketua Menteri.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru