Tuesday, June 28, 2022

Seludup 90,000 liter diesel: Empat warga Indonesia ditahan

Secara Rawak

MIRI: Empat warga Indonesia, empat kru termasuk tekong, berusia antara 23 hingga 51 tahun,  ditahan selepas cubaan menyeludup 90,000 liter diesel dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri di perairan Miri di sini awal pagi Ahad.

Pengarah Zon Maritim Miri Komander Maritim Eizanizam Mohammad Eng berkata, serbuan dan tangkapan dibuat berikutan maklumat risikan mengenai pelanggaran undang-undang oleh komuniti maritim di sekitar perairan Miri.

Katanya lagi,  mereka ditahan sekitar jam 2.35 pagi oleh penguat kuasa Maritim Malaysia di kedudukan 1.7 batu nautika dari barat muara Sungai Miri.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel tersebut disyaki  melakukan beberapa kesalahan, termasuk di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, ” katanya dalam satu kenyataan.

Ini, katanya adalah kerana vesel tiada Master serta Domestic Shipping License (DSL), dan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama-sama Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana kerana tiada dokumen Surat Control Supplies Act (CSA).

Jelasnya lagi, kapal  itu juga tiada Sijil Petroleum Development Act (PDA), tiada Resit/Invoice Pembelian Bahan Bakar, serta disyaki menyeludup diesel dan membawa minyak diesel melebihi kuantiti yang dibenarkan di dalam Borang C semasa diperiksa.

“Kesemua kru, kapal serta anggaran diesel sebanyak 90,000 liter yang bernilai lebih kurang RM 1.5 juta ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat,” katanya.

Kata Eizanizam,  kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, serta Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM 1 Juta bagi individu perseorangan, atau RM 2 Juta bagi pertubuhan perbadanan dan penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru