Tuesday, August 9, 2022

Langkah  penuhi aspirasi golongan 18 hingga 28 tahun dalam PBB

Secara Rawak

KUCHING: Peluang akan disediakan kepada golongan golongan belia berusia 18 hingga 28 tahun untuk bersama-sama berkhidmat kepada kesejahteraan dan kemajuan negeri Sarawak  sesuai dengan perubahan landskap semasa dan masa depan.

Menurut presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk itu, PBB akan meminda perlembagaannya pada Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali yang dijadualkan pada Jun depan.

“Buat masa ini PBB ada sayap wanita serta pemuda. Kita akan wujudkan satu sayap bagi golongan belia 18 hingga 28 tahun,” kata Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di sini malam tadi.

“PBB ialah parti yang dinamik, kita juga mendengar aspirasi golongan muda dan kita akan sesuaikan kepada keadaan politik semasa,” katanya.

“Kita sudah tubuhkan jawatankuasa bagi meneliti cadangan penubuhan sayap itu,” katanya.

Langkah itu kelihatannya selari dengan proses pendaftaran automatik golongan yang berusia 18 ke atas sebagai pengundi di negara ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru