Tuesday, August 9, 2022

Beli rumah: Kerajaan Sarawak bayar deposit hingga RM10,000

Secara Rawak

KUCHING: Bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40) di negeri ini memiliki rumah sendiri, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) bermula Januari tahun ini.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak akan membantu pembeli membayar deposit sehingga maksimum sehingga RM10,000.

“Bermakna, jika mereka hendak membeli rumah yang berharga bawah RM300,000, kerajaan akan membantu membayar deposit RM10,000.

Beliau menambah, “Ini khas untuk mereka yang saya nampak orang muda yang berumur lingkungan 26 hingga 30 tahun, kalau sudah kahwin, simpanan mereka belum cukup untuk membeli rumah. “Dan kalau hendak membeli rumah, terpaksa menunggu sehingga wang deposit mencukupi,” ujarnya.

Abang Johari berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan setelah selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam tadi seperti dipetik TVS.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu ( PBB) berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menyediakan peruntukan bagi tujuan tersebutm kepada rakyat untuk memiliki rumah pada usia muda.

“Kalau membeli rumah dalam lingkungan 40 hingga 45 tahun, tempoh pembayaran adalah pendek maka mereka terpaksa membayar lebih. “Manakala jika membeli ketika di dalam lingkungan umur 27 hingga 28 tahun bermakna tempoh pembayarannya panjang dan dia tidak bayar banyak,” katanya.

Terdahulu, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10 juta dibawah skim ini menerusi Belanjawan Negeri 2022.

Skim bantuan ini adalah antara usaha Kerajaan Negeri dalam meneruskan usaha menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat dan meringankan masalah kewangan dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah yang antara lain termasuk peruntukan sebanyak RM80 juta  bagi Program Pembaikan Rumah Miskin Sarawak dan RM50 juta  lagi untuk membina semula dan membaik pulih rumah panjang yang daif.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru