Monday, May 16, 2022

Pendapatan tinggi: Pelabuhan di Sarawak perlu lakukan inovasi

Secara Rawak

KUCHING: Pengurusan pelabuhan Sarawak perlu bersedia untuk pemodenan, menginovasi dan menerima pakai teknologi baharu, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata selaras dengan hasrat Sarawak untuk memiliki masyarakat berpendapatan tinggi pada tahun 2030, pelabuhan di negeri ini perlu memainkan peranan yang penting bagi menjayakannya.

“Rancangan kita adalah untuk mengeksport lebih banyak produk makanan menjelang tahun berkenaan, sekali gus menjadikan pelabuhan-pelabuhan ini sebagai komponen penting dalam agenda pembangunan negeri,” kata beliau yang juga merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan dalam kenyataan seperti dipetik Bernama.

Katanya proses pemodenan akan turut merangkumi inisiatif melihat kepada cara pengurusan baharu dan menambah baik atau meningkatkan semua kemudahan penting.

“Lihat kepada model pelabuhan di seluruh dunia, tetapkan pelabuhan yang telah berjaya sebagai penanda aras, kami di kementerian akan lebih proaktif dalam memastikan pertumbuhan anda menghala ke arah sasaran,” katanya.

Menurut Uggah pelabuhan di Sarawak memiliki potensi besar dan boleh menjadi cukup berdaya saing  sebagaimana pelabuhan lain di rantau ini.

“Mari kita manfaatkan semangat ‘Sarawak Boleh’ untuk meningkatkan kemeriahan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru