Thursday, May 19, 2022

Novelis terkenal meninggal dunia

Secara Rawak

KUCHING: Novelis terkemuka Filipina, Francisco Sionil Jose, meninggal dunia pada Khamis.

Mendiang berusia  97 tahun menghembuskan nafas terakhir  di Makati Medical Center, Manila, lokasi beliau dijadualkan menjalani prosedur angioplasti pada 7 Januari.

Pemergiannya itu menurut Jendela DBP, disahkan oleh Philippine Center of International Poets, Essayists, Novelists (PEN) dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Antara karya beliau ialah Tree, Mass, My Brother, My Executioner, The Pretenders dan Dusk.

Jose dilahirkan pada 3 Disember 1924 di Pangasinan, wilayah miskin di utara Filipina ketika negara itu dijajah Amerika. 

Beliau mendapat pendidikan tingginya di University of Santo Tomas.

Bapanya bertugas di gereja, manakala ibunya tukang jahit. Sebagai penulis, Jose dikatakan sangat dipengaruhi Jose Rizal. 

Hal itu mungkin memberikan inspirasi terbesar dalam kepengarangannya apabila kebanyakan karya beliau berkisar mengenai pengalaman menyakitkan dan ketidakadilan yang dialami oleh negara-negara Asia Tenggara pada era kolonialisme.

Karya Jose sudah diterjemahkan ke dalam lebih 20 bahasa dan merupakan pengarang Filipina yang karyanya paling banyak diterjemahkan.

Jose, bekas wartawan Manila Times pernah bertugas di majalah Asia yang berpangkalan di Hong Kong sekitar 1960 sebelum kembali ke Filipina dan membuka kedai buku, Solidaridad. 

Kedai itu merupakan lokasi kelompok penulis berkumpul dan berbincang mengenai isu sosial. 

Malah, selepas tertubuhnya PEN International Filipina, Solidaridad dijadikan sebagai ibu pejabat.

Sepanjang kerjaya penulisannya, Jose menghasilkan sedozen novel selain beberapa koleksi cerpen dan esei.

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru