Tuesday, August 9, 2022

Fokus jadi pengeluar utama makanan bersih

Secara Rawak

KUCHING: Fokus utama Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah untuk membantu Sarawak menjadi pengeluar dan pengeksport makanan bersih utama.

Menterinya Datuk Seri Stephen Rundi berkata, tetapi kebimbangan utama beliau adalah cara menaik taraf petani luar bandar menjadikan pertanian komersial dan bukan hanya sara hidup.

“Kami mahu membantu mereka meningkatkan produktiviti dan pendapatan secara serentak. “Saya percaya satu-satunya cara bekerja dengan komited sebagai satu pasukan.

“Sektor pertanian merupakan salah satu pemboleh pembangunan strategik negeri pasca-Covid-19 untuk menjadikan masyarakat Sarawak berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Rundi yang juga bekas Menteri Utiliti berkata demikian pada majlis serah tugas Kementerian Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah secara rasmi daripada mantan menterinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Mengulas lanjut, beliau berharap usaha tersebut dapat diterjemahkan dengan baik supaya rakyat dapat menikmati impaknya. “Daripada pemerhatian saya selama bertahun-tahun, Uggah mentadbir kementerian ini, beliau merupakan seorang komited dan bekerja keras. Saya berharap dapat mencontohi budaya kerja beliau demi kemajuan kementerian ini,” katanya.

Tambahnya, beliau akan terus berkomunikasi dan berbincang apa-apa berhubung kementerian tersebut termasuk idea baharu dengan Uggah serta Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu Uggah dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Rundi dan Timbalannya Dr Abdul Rahman Ismail dan Martin Ben atas pelantikan mereka ke kementerian tersebut.

“Ini adalah kementerian yang sangat menarik dan mempunyai tagline tersendiri iaitu membantu Sarawak menjadi pengeksport bersih pengeluar makanan menjelang 2030. “Ia juga merupakan salah satu agensi yang sangat penting dalam membantu menerajui pembangunan negeri menjadikan masyarakat berpendapatan tinggi,” ujarnya ringkas.

Uggah turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi di bawah kementerian atas sokongan penuh kepada beliau dan pasukannya sejak lima tahun lepas. Majlis ringkas tersebut turut dihadiri mantan menteri muda kementerian tersebut iaitu Datuk Roland Sagah yang kini dilantik sebagai Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat.

Turut hadir Setiausaha Tetap kementerian Datu Edwin Abit, Pengarah Jabatan Pertanian Dr. Alvin Chai, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Dr.Adrian Susin Ambud, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak Siang Mandaw, Pengurus Besar SALCRA Joseph Blandoi dan pegawai kanan lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru