Tuesday, January 18, 2022

Warga asing tawar seks dapat hingga RM7,000 sebulan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Menawarkan khidmat seks menerusi media sosial pada kadar mencecah RM500 hingga RM600 untuk satu malam, itu taktik dikesan digunakan enam wanita warga Afrika dalam kegiatan pelacuran di kondominium mewah di beberapa lokasi di sini.

Dalam serbuan yang dijalankan lewat malam semalam di sebuah kondominium mewah di sini, kesemua mereka yang berusia lingkungan 20-an didapati merupakan penuntut di sebuah universiti swasta di sekitar Taman Shamelin Perkasa, di sini dan Subang, Selangor.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang dipetik Bernama berkata, kegiatan pelacuran itu dipercayai beroperasi sejak tahun lepas menggunakan aplikasi WeChat dan Facebook untuk mencari pelanggan.

Beliau berkata pelanggan perlu meyakinkan bahawa mereka tidak akan membocorkan rahsia kegiatan itu dan setelah diyakini mereka akan dianggap sebagai pelanggan eksklusif sekali gus menjadi pelanggan tetap.

“Kegiatan ini dijalankan di lokasi berbeza bergantung kepada permintaan pelanggan setempat dan dianggarkan mereka memperoleh RM7,000 sebulan,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata hasil siasatan mendapati lima wanita berkenaan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan pelajar manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial.

Beliau berkata serbuan itu turut menahan tiga lelaki warga Afrika dan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dengan kesemuanya dipercayai pelanggan.

Katanya kesemua wanita berkenaan akan direman di Depot Imigresen Putrajaya selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, seorang wanita yang ditahan turut dilihat berpura-pura pengsan dan sakit bagi meraih simpati pihak berkuasa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru