Tuesday, January 18, 2022

Parti Bangsa Malaysia diterajui Larry Sng

Secara Rawak

SIBU: Parti Bangsa Malaysia (PBM) merupakan parti yang menyokong kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara ini dimaklumkan oleh presidennya Larry Sng ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Persidangan Agung PBM di RH Hotel, hari ini (Sabtu).

Selain itu, katanya, PBM juga akan turut memberikan kerjasamanya kerajaan GPS yang menerajui negeri ini.

“Kami juga ada wakil daripada kerajaan, jadi hala tuju kami jelas di belakang Perdana Menteri dan kerajaan pada hari ini.

“Di Sarawak, GPS juga sebahagian daripada Keluarga Malaysia, jadi bagi kami, kami juga akan bekerjasama dalam Keluarga Malaysia yang sama,” jelas Ahli Parlimen Julau itu.

Sng berkata, hala tuju dasar PBM akan menjurus kepada dasar semua sudut dan tidak tertumpu kepada sesuatu perkara sahaja.

Ujarnya lagi, PBM lebih menjurus kepada pusat dalam peranan partinya yang kini berstatus parti kebangsaan yang dianggotai berbilang kaum dalam Malaysia.

Menurutnya, PBM akan memberi tumpuan kepada isu wanita, isu belia, aspek ekonomi, sains, teknologi dan pendidikan secara menyeluruh untuk negara ini.

“Pada asalnya, PBM bukan parti baharu, tetapi kesinambungan parti sedia ada dari parti tempatan dan kini sedang diperluaskan kepada parti berasaskan kebangsaan yang turut termaktub dalam perlembagaan parti.

“Sebelum ini parti ini dinamakan Sarawak Workers Party (SWP) dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah meluluskan pertukaran namanya kepada PBM.

“Ia adalah parti berbilang kaum untuk semua rakyat Malaysia dan seperti yang anda lihat, daripada komposisi barisan, kita mempunyai ahli dari negeri yang berbeza dan sebahagian daripada mereka adalah wakil rakyat,” kata Sng.

Sebelum ini, katanya, SWP mempunyai keahlian kira-kira 40,000 ahli dan baru-baru ini Penggerak Komuniti Negara (PKN) mengumumkan baru-baru ini 53,000 ahlinya akan menyertai PBM.

Rentetan itu, beliau yakin parti itu akan mendapat momentum untuk bergerak ke hadapan memandangkan parti itu sentiasa menerima permohonan baharu setiap hari dari seluruh negara.

Beliau juga berkata dengan barisan baharu itu, langkah seterusnya bagi parti itu ialah menubuhkan bahagian baharu di seluruh Malaysia dan negeri masing-masing.

Ketika ditanya mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau berkata, parti itu akan bekerjasama dengan kerajaan.

Jelasnya, anggota perwakilan mahu parti itu bekerjasama dengan komponen parti kerajaan tertentu.

Beliau berkata pengumuman akan dibuat sekiranya mereka dapat mencapai persetujuan untuk tujuan kerjasama itu.

Bagaimanapun, jelasnya, mengenai pencalonan, ahli akan membuat keputusan dalam parti terlebih dahulu.

“Kita akan melalui proses pemilihan kerusi yang kita ingin tandingi, pada masa yang sama juga, menantikan pemilihan calon,” katanya lagi.

PBM diterajui oleh Sng sebagai presidennya diikuti Adun Lembah Jaya (Selangor) Haniza Mohamed Talha adalah Timbalan Presiden I manakala Wong Judat sebagai Timbalan Presiden II.

Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon dipilih sebagai Naib Presiden Kanan I dan Adun Buntong (Perak) Sivasubramaniam Athinarayanan sebagai Naib Presiden Kanan II.

Rahimah Majid, Dr Sathiskumar, Saful Bahari Sahri masing-masing adalah Naib Presiden, Adun Sementa (Selangor) Dr Daroyah Alwi adalah Ketua Wanita, dan Na’im Brundage sebagai Ketua Pemuda.

Ahli majlis tertinggi lain yang dipilih ialah Ab Aziz Ab Kadir, Alan Oh Teik Choon, Lee Chin Cheh, Zakaria Abdul Rahim, Dr Kaniappan, Levenia Mawas, Kapten (B) Engga Unchat, Dato Chua Lian Chye, Dato Roger Tan Seng Huat, Adun Malim (Perak) Nawar Leong Cheok Keng, Shuhada Abdul Rahim, Ong Chin Wen, Albakri Salim, Kapten Ahmad Khairul, dan Ramana K. Naidu.

Pada mesyuarat tersebut, PBM turut melantik Nor Hizwan Ahmad sebagai Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung Jenny Chiew, Bendahari Agung Paul Yong yang juga Adun Tronoh (Perak), Ketua Penerangan Zakaria Abdul Halim dan Ahli Majlis Tertinggi Muniraa Abu Bakar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru