Tuesday, January 18, 2022

Limpahan manfaat untuk penduduk Gita

Secara Rawak

KUCHING: Penduduk tempatan bakal mendapat manfaat baharu apabila pembinaan jalan susur menghubungkan Kampung Gita dengan Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud, di sini, dilaksanakan nanti.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia susulan selepas Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan peruntukan untuk pembinaan jalan baharu tersebut.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluluskan peruntukan bagi pembinaan jalan susur ini yang menghubungkan Kampung Gita di Petra Jaya dengan Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud menuju ke E-mart Matang.

“Apabila siap kelak, ia akan memudahkan serta menjimatkan lagi jarak perjalanan penduduk sekitarnya,” katanya. Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pembinaan jalan susur tersebut.

“Moga urusan pembinaan jalan susur berkenaan dipermudahkan demi keselesaan dan kemudahan Keluarga Malaysia khususnya di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Turut hadir Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datuk Ir Zuraimi Sabki, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Datuk Hasnul Mohamed serta wakil Pengarah Jabatan Tanah dan Survei.

Untuk rekod, Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud siap dibina pada 2018 merupakan salah satu perkara yang dijanjikan kerajaan pada PRU-13 dan ditunaikan sebelum PRU-14.

Jambatan empat lorong tersebut dari bulatan E-mart, Matang dan jambatan merentasi Sungai Sarawak menghubungkan Stapok, Batu Kawa.

Jalan sepanjang 4.4 kilometer (km) serta jambatan sepanjang 320 meter ini mula dibina pada April 2015 dengan kos RM145 juta dan mula dibuka kepada umum pada 14 April 2018.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru