Tuesday, August 9, 2022

Integriti SPRM: Pas sambut baik tindakan Azam Baki beri penjelasan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan langkah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang secara terbuka memberikan penjelasan tentang tuduhan beberapa pihak berkaitan dakwaan isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat sebagai langkah tepat.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, langkah tersebut amat tepat kerana ia berkaitan integriti SPRM sebagai sebuah badan penguatkuasa pencegahan rasuah yang utama di negara ini.

Menurutnya, penafian terhadap tuduhan berkenaan diharap dapat menghentikan tindakan beberapa pihak yang kelihatan sengaja membangkitkan isu seumpamanya bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat sekali gus untuk menggugat kestabilan negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Dengan ini juga, beban pembuktian terletak ke atas pihak yang masih terus membuat dakwaan yang serupa bagi membuktikan segala tuduhan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan berasas, sekiranya tidak ia adalah sekadar tuduhan melulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, PAS yakin pihak berkuasa akan meneliti kenyataan tersebut dan menilai serta seterusnya mengambil tindakan yang adil kepada semua pihak berdasarkan fakta dan undang-undang.

Rabu lalu, Azam menafikan tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dirinya mempunyai kepentingan dalam skandal pembelian saham yang dikaitkan dengannya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa mencemar imejnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru