Tuesday, January 18, 2022

Derita kehidupan bersara dengan pengeluaran i-Citra 3.0

Secara Rawak

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DEWAN MELAYU) terpanggil untuk mengulas isu membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sedang hangat diperdebatkan memandangkan ianya melibatkan untung-rugi majoriti orang Melayu.

2Setelah dua kali program i-Citra KWSP dilaksanakan dengan membenarkan pengeluaran wang simpanan Akaun 1 dan Akaun 2 pencarum sebelum tarikh persaraan, DEWAN MELAYU menyeru kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri agar tidak meneruskan i-Citra buat kali yang ketiga kononnya bagi meringankan beban mangsa banjir baru-baru ini, atau menangani musibah Covid-19 dengan jangkitan varian baharu.

Pada hemat kami, selain krisis bencana alam, krisis yang jauh lebih besar dan berupaya memusnahkan kehidupan setiap rakyat Malaysia ialah krisis kemiskinan pada usia persaraan memandangkan pada hari ini lebih 80% pencarum aktif KWSP mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

Membenarkan pengeluaran baki simpanan yang tidak seberapa itu bukan sahaja akan menambah derita pencarum dengan baki simpanan yang terlalu sedikit apabila mereka bersama, tetapi tetap gagal merungkai masalah kewangan mereka hari ini sebagaimana yang berlaku ketika i-Citra 1.0 dan i-Citra 2.0.

Membenarkan pengeluaran juga tidak akan membantu golongan Bumiputera kerana walaupun dari segi bilangan mereka adalah kumpulan pencarum terbesar KWSP, tetapi dari segi nilai tabungan, mereka bukanlah sasaran kumpulan yang dapat dibantu dengan iCitra 3.0.

Lebih memburukkan keadaan, pengeluaran tabung amanah simpanan/pelaburan seperti KWSP berkali-kali sebelum tiba waktu matangnya (iaitu apabila pencarum mencapai umur persaraan) tentunya akan memberi tekanan kepada KWSP untuk melabur secara lebih terancang, disamping menyukarkan mereka untuk menjanjikan pulangan/dividen yang lebih baik kepada pelabur.

Sebenarnya memang sudah ada kebijaksanaan oleh kerajaan dan KWSP dalam menguatkuasakan larangan mengeluarkan simpanan sebelum tempoh bersara. Kita sedia maklum bagaimana KWSP telah memberikan banyak kelonggaran apabila memecahkan simpanan pencarum kepada tiga akaun untuk memberi fleksibiliti pengeluaran bagi membiayai untuk keperluan mendesak dan asasi tanpa mengganggu simpanan daripada Akaun 1.

Meneruskan kehidupan yang selesa selepas tempoh bersara adalah cita-cita setiap warganegara Malaysia. Tiada ada sesiapa yang mahu bekerja membanting tulang seluruh hidupnya. Dengan kenaikan kos sara hidup, kos penjagaan kesihatan serta purata usia yang semakin panjang, tabung simpanan KWSP adalah satu-satunya harapan buat bakal pesara yang mesti dijaga dan dipertahankan.

Menyedari betapa besarnya skala keperitan dan kemusnahan akibat bencara dan pandemik yang sedang berlaku, perbagai kaedah bantuan mesti dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan tanpa meletakkan beban tersebut seluruhnya kepada warganegara yang telah banyak berkorban. Bantuan tunai atau pinjaman tanpa faedah sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, serta perlaksanaan moratorium otomatik merentas agensi oleh YB Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi harus dipuji, dengan gesaan agar kaedah perlaksanaannya dapat dipermudahkan lagi.

DEWAN MELAYU juga mahu kerajaan meluluskan cadangan untuk meninggikan had bantuan pinjaman tanpa riba oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada RM25,000 bagi setiap isirumah manakala bagi TEKUN NASIONAL pula untuk menaikkan had bantuan mereka kepada RM15,000 untuk setiap peniaga yang terkesan oleh musibah banjir.

Bagi mendepani krisis ekonomi selepas bersara yang dijangka telah pun bermula, DEWAN MELAYU mahu kerajaan agar lebih tekad dan berani dalam melaksanakan langkah-langkah “pre-emptive” yang lebih drastik seperti mewujudkan Skim Pencen Universal serta kajian semula tahap gaji nasional.

Akhir sekali, DEWAN MELAYU ingin mengulangi desakannya kepada kerajaan untuk menubuh sekaligus menguatkuasakan program Dana Rakyat yang berteraskan konsep waqaf bagi membantu menyediakan modal pusingan munasabah buat usahawan yang terjejas oleh bencana berganda negara.

DEWAN MELAYU dengan ini merumuskan bahawa pengeluaran wang simpanan persaraan oleh KWSP tidak boleh lagi diteruskan kerana ia tidak lagi realistik, disamping mendesak kerajaan untuk menggandakan perbagai bentuk bantuan serta pengecualian kepada setiap individu serta isirumah tanpa perlu bertangguh lagi; dan yang lebih penting lagi untuk tidak membenarkan sebarang bentuk eksploitasi terhadap kesengsaraan orang-ramai demi meraih markah politik yang jelek.

Sekian, terima kasih.

Untuk dan bagi pihak DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA
ABDUL HALIM BIN HUSIN
merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru