Thursday, May 19, 2022

Pemandu e-hailing dipukul hingga maut, enam dicekup

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Malang tidak berbau bagi seorang lelaki berusia 28 tahun yang diserang sekumpulan lelaki warga tempatan selepas berhibur bersama teman wanitanya, di sebuah pusat hiburan di Kepong pada 28 Dis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata seramai enam individu memukul mangsa yang merupakan pemandu e-panggilan sehingga mengalami pendarahan di bahagian kepala, dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat “Blunt Force Trauma to The Head” pada 30 Dis lalu, selepas dua hari mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata sebelum kejadian itu berlaku, telah terjadi isu salah faham membabitkan teman wanita mangsa bersama-sama semua suspek yang terlibat.

“Menurut teman wanita mangsa yang merupakan saksi kejadian terbabit, dia bersama-sama mangsa berada di dalam kereta di tempat letak kereta berkenaan, dan mereka melihat kesemua suspek dari dalam pusat hiburan menghampiri dan bertindak membuka pintu kereta milik mangsa.

“Semua suspek menarik keluar mangsa dari kenderaan dan memukul mangsa sehingga mangsa mengalami kecederaan yang parah, dan semua suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri,” katanya ketika sidang media di sini, seperti dipetik Bernama.

Beh berkata pihaknya bersama-sama bahagian D9 ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, berjaya menahan semua individu terbabit dalam beberapa siri serbuan di lokasi yang berbeza.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati tiga daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai kesalahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 13 Jan depan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru