Saturday, October 8, 2022

Yakin Sarawak akan terus makmur

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak bukan sahaja akan makmur menjelang 2030 tetapi menjadi sebuah negeri yang inklusif, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

“Setiap rakyat akan berbangga menggelarkan diri sebagai orang Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Justeru, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu optimis kemakmuran Sarawak itu dicapai menerusi 34 perkara dalam manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) sempena Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang lalu.

Malah katanya, kemenangan GPS di 76 daripada 82 kerusi, dengan SUPP memenangi 13 kerusi juga jelas menunjukkan rakyat Sarawak menyokong parti tempatan Sarawak dan menolak parti dari Semenanjung Malaysia. “Pada 18 Disember lepas, orang Sarawak sudah bercakap dan mereka menjangkakan GPS akan memenuhi 34 perkara dalam manifesto,” katanya.

Manakala, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengarah Operasi GPS bagi PRN-12 Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemenangan bergaya GPS mencerminkan jaminan dan keyakinan penuh rakyat terhadap kepimpinan berterusan Abang Johari untuk memimpin Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Tidak pernah sebelum ini, sejak merdeka parti pemerintah menang dengan mandat yang begitu kuat dan sokongan padu yang diberikan oleh pengundi,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru