Tuesday, January 18, 2022

Malaysia perlu dasar kelestarian yang benar-benar menggoncang, menggegar

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Dasar kelestarian  Malaysia memerlukan sesuatu yang benar-benar ‘menggoncang dan menggegarkan’, kata Timbalan presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, sudah sampai masanya Malaysia mengkaji semula dasar penebangan dan pengurusan hutan, menghentikan penggunaan plastik sekali guna, mewajibkan semua pembangunan baharu beralih kepada teknologi tenaga cekap sepenuhnya , juga menyasarkan penggunaan kenderaan eletrik sepenuhnya menjelang 2035.

“Sesuatu yang benar-benar luar biasa dan berdampak berganda. Bukan sesuatu yang ‘incremental’ dan reaktif,”  katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, memberitahu dunia bahawa Malaysia tidak terkesan dengan perubahan cuaca adalah kenyataan penafian yang sangat dikesali, tidak benar dan tidak jujur.

“Rakyat Malaysia memerlukan jaminan keselamatan insan, melalui dasar yang jelas dan tindakan nyata. Kerajaan yang tidak boleh memberi jaminan keselamatan insan, adalah Kerajaan yang tidak mengerti kehendak semasa dan keperluan masa depan rakyatnya,” ujarnya.

“Pelajaran paling besar dari 2021 ialah Malaysia sedang menyaksikan peningkatan ketara ancaman terhadap keselamatan insan.

Penyebab utama ialah pandemik Covid-19 dan perubahan cuaca. Kedua-duanya adalah ancaman keselamatan bukan tradisional, yang telah menjadi ancaman utama kepada keselamatan negara.

Bukan sahaja jumlah yang terkorban sangat ketara, kedua-duanya juga menjerumuskan jutaan rakyat ke tahap lebih miskin kerana kehilangan pekerjaan, tertutupnya peluang pendidikan dan kesukaran untuk membangun perniagaan dan keusahawanan,” katanya.

“Rakyat yang terjejas merasa tidak lagi selamat. Kehilangan punca pendapatan, harta benda, kemusnahan prasarana serta pergerakan yang terbatas kerana protokol kesihatan yang ketat, semuanya adalah ancaman nyata kepada keselamatan insan” tambahnya.

Kata Beliau yang dikenali sebagai Tok Mat, semua ini menuntut perubahan paradigma, dalam kita mengurus dasar keselamatan negara.

“Modernisasi aset keselamatan dan pertahanan sahaja, tidak akan mencukupi untuk menangani kedua-dua ancaman tersebut. Apalagi sekadar memperbaiki kemudahan prasarana yang terjejas teruk kerana banjir yang luar biasa,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru