Friday, August 19, 2022

Hampir 600,000 pengguna S Pay Global

Secara Rawak

KUCHING: Platform mudah alih teknologi kewangan yang dilancarkan oleh Kerajaan Sarawak, S Pay Global menunjukkan prestasi membanggakan apabila sehingga kini telah mempunyai seramai 590, 290 pengguna berdaftar.

Pada masa sama,  menurut Pengurus Besar, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak aplikasi berkenaan turut memanfaatkan seramai 85,445 perniagaan di Sarawak dengan transaksi dicatatkan mencecah RM1.8 bilion.

Katanya, peningkatan ketara jumlah pengguna S Pay Global mula dikesan ketika tempoh pandemik Covid-19.

”Gangguan yang dibawa oleh pandemik berkenaan telah menyebabkan usahawan dan orang ramai memilih transaksi tanpa tunai.

“Selain itu, menerusi S Pay Global, kerajaan negeri turut memanfaatkannya untuk menyalurkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) kepada rakyat Sarawak yang memenuhi syarat ketika tempoh pandemik,” katanya seperti dipetik TVS.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media di sini hari ini.

S Pay Global yang sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay merupakan e-dompet Sarawak iaitu inisiatif untuk memperkasakan ekonomi digital.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata , platform berkenaan juga melebarkan sayap apabila bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan perkhidmatan transaksi dalam talian kepada penduduk yang tinggal di luar bandar menerusi ejen lantikan bank.

“Pengguna S Pay Global di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada mana-mana institusi kewangan boleh menerima dan menghantar wang kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan rakan kongsi perniagaan mereka melalui e-dompet menerusi mana-mana 236 ejen bank BSN di negeri ini,” katanya.

Sementara itu beliau turut memberitahu, SMA berterusan memantapkan penggunaan teknologi digital di negeri ini ketika musim pandemik.

”Antara inisiatif SMA pada musim pandemik Covid- 19 ini adalah seperti Permohonan Masuk dan Keluar Sarawak secara dalam talian, Borang Pengisytiharan Kesihatan elektronik (eHDF), Covid Trace System dengan kerjasama Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) dan aplikasi mudah alih rasmi yang dipanggil i-Alerts,”katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru