Tuesday, August 9, 2022

Pusat judi kaut RM2,000 sehari tumpas!

Secara Rawak

KUCHING: Seramai empat warga tempatan dan tiga warga Indonesia yang menjadi operator perjudian dalam talian ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuching kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata kesemua suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah berkembar dua tingkat di Tabuan Tranquility, yang dijadikan sebagai pusat operasi dan pengurusan perjudian dalam talian.

“Kesemua yang ditahan bekerja sejak Oktober tahun lepas dengan bayaran gaji sebanyak RM1,300 sehingga RM2,000 sebulan.

“Setiap operator juga akan dibayar amaun sebagai bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi sindiket,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah siasatan awal mendapati pusat tersebut telah beroperasi secara syif untuk tempoh 24 jam, dengan kesemua operator terbabit akan membuat panggilan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan perjudian dalam talian.

Selain panggilan telefon, beliau berkata kesemua operator itu juga mempromosikan judi dalam talian menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti Whatsapp, Telegram, Wechat, Skype dan juga Facebook.

Ahsmon berkata berdasarkan kepada rekod dan transaksi yang berjaya disemak, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut sebanyak RM2,000 sehari dan mencecah RM180,000 dalam tempoh tiga bulan.

Justeru, katanya pasukan serbuan telah merampas pelbagai peralatan termasuk lima unit komputer, router, modem dan peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Ahsmon berkata kertas siasatan telah dibuka ke atas kesemua suspek yang ditahan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun.

Pada masa sama, beliau pemilik premis masih dikesan bagi membantu siasatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru