Tuesday, January 18, 2022

Petronas-Petros terus pertingkatkan kerjasama tarik pelaburan

Secara Rawak

KUCHING: Pada Disember 2021, Petronas dan Petros memeterai MoU berkaitan pembekalan sehingga 1,200 mmscf/gas asli antara lain bertujuan membangunkan struktur komersil atau harga gas yang kompetitif.

Timbalan Ketua Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berharap kerjasama Petronas-Petros terus dipertingkatkan demi menggalak dan menarik pelaburan di Sarawak untuk kedua-dua huluan dan hiliran serta sektor perindustrian di Sarawak.

Dalam kenyataan medianya, Awang Tengah berkata Petronas membuat kunjungan hormat terhadap beliau diketuai oleh Pengerusi Petronas Tan Sri Datuk Seri Mohd Bakke Salleh dan Datuk Tengku Muhammad Taufik, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Pada kunjungan tersebut, Awang Tengah mengambil kesempatan membincangkan beberapa perkara berkaitan pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam Perjanjian Penyelesaian Komersial yang ditandatangani antara Sarawak dengan Petronas pada 7 Disember 2020 lalu.

Menurut Awang Tengah, perjanjian ini menyediakan rangka kerja untuk penyertaan lebih besar Sarawak melalui Petros dalam industri minyak dan gas di negeri ini dalam kedua-dua sektor huluan dan hiliran.

Bagi beliau, Sarawak dan Petronas mengiktiraf kerjasama yang lebih baik dan hubungan kerja yang dipertingkatkan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru