Sunday, July 3, 2022

Lelaki 71 tahun, cucu hilang di Samarahan ditemui

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki warga emas dan cucu perempuannya yang dikhuatiri hilang di hutan Kampung Binyuk ditemui dalam keadaan selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Nurul Suhada, 12, ditemui pada jam 2.43 pagi manakala Aidil Junit, 71, berjaya dibawa keluar pada jam 3.30 pagi.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang sekitar jam 7.13 malam berikutan masih belum pulang selepas ke hutan untuk mencari buah asam paya pada tengah hari.

Jelasnya, salah seorang mangsa (cucu) pada awalnya dapat dihubungi namun terputus talian akibat telefon mangsa kehabisan bateri.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan dengan mencari mangsa hilang pada jarak 2 kilometer dari lokasi kejadian.

“Pasukan operasi melaporkan ketika pencarian telah terdengar suara mangsa menjerit namun gagal mengesan kedudukan sebenar mereka di hutan.

“Pada jam 2.43 pagi, mangsa pertama (cucu) ditemui dalam keadaan selamat manakala datuknya ditemui kira-kira sejam kemudian sebelum berjaya dibawa keluar pada jam 3.31 pagi.

Operasi pencarian seterusnya ditamatkan pada jam 3.35 pagi.

Terdahulu, usaha mencari mangsa terdiri daripada anggota Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, PDRM dan warga penduduk kampung.

Turut hadir ke lokasi kejadian Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Stakan Datuk Hamzah Ibrahim.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru