Friday, August 12, 2022

PKR terima hakikat sudah kalah

Secara Rawak

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak sedang mengkaji kelemahan lain agar dapat memahami kehendak rakyat Sarawak dan memperbaiki gerak kerja sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Abun Sui Anyit

Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata, ia selepas pihaknya mengenal pasti punca kekalahan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang lalu, yang menyaksikan kesemua calon parti itu tewas di 28 kerusi yang ditandingi.

“Sungguhpun Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak kecewa dengan kekalahan dalam PRN Sarawak Ke-12, namun kami menerima hakikat tersebut.

“Amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat perlu diteruskan dan dilaksanakan,” katanya semalam.

Justeru, beliau berkata PKR Sarawak akan terus memperjuangkan hak rakyat Sarawak dan meneruskan agenda reformasi agar Sarawak ditadbir dengan lebih sempurna dan nasib rakyat akar umbi dibela.

“PKR Sarawak akan terus memainkan peranan semak imbang di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak demi memperkasakan kemajuan infrastruktur, penjanaan ekonomi dan peluang pekerjaan, reformasi urus tadbir dan anti rasuah, memantapkan bidang kehakiman serta merapatkan jurang perkauman.

“Ini agar semua rakyat Sarawak hidup dalam harmoni dan mampu meraihkan kemakmuran bersama,” katanya.

Pada masa sama, Abun berkata PKR Sarawak menyeru agar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melaksanakan mandat rakyat dengan penuh bertanggungjawab.

Katanya, ia bagi memastikan rakyat Sarawak mendapat infrastruktur asas yang lebih baik, perkhidmatan awam yang lancar dan peluang pekerjaan serta penjanaan ekonomi yang mantap dalam masa lima tahun yang akan datang,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru