Saturday, December 3, 2022

Jangan gadaikan keselamatan anak – anak bermain di kawasan banjir

Secara Rawak

KUCHING: Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman mendedahkan, pemantauan yang dilakukan oleh anggotanya mendapati terdapat kalangan ibu – bapa yang masih tidak peka terhadap keselamatan anak masing – masing ketika keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Ujar Khirudin seperti dipetik TVS , semasa menyertai rondaan bersama anggotanya di Pusa, Betong, Saratok dan Debak ketika berlaku fenomena air pasang, beliau melihat kanak – kanak dibiarkan ‘bermain’ di kawasan gigi air.

”Ini merupakan perbuatan yang perlu dielakkan supaya tidak menimbulkan kecelakaan.

” Keadaan air memang nampak tenang pada permukaan namun kita tidak tahu mungkin ada binatang berbisa dan sebagainya yang boleh mendatangkan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan udara di sekitar kawasan Sadong Jaya, Batang Lupar, Sri Aman hingga ke Muara Tebas di sini Selasa.

Katanya, sekiranya berlaku tragedi terhadap kanak – kanak disebabkan kecuaian ibu – bapa membiarkan anak mereka bermain di kawasan berisiko seperti disebut, ia boleh ‘mengganggu’ tugas JBPM.

” Ini kerana kita terpaksa mengaktifkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Tugasan utama kita memantau banjir dan bertugas di pusat pemindahan sementara akan terjejas. Jadi kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh masyarakat di negeri ini memberi kerjasama untuk menghadapi bencana banjir yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa.

” JBPM Sarawak bersiap sedia untuk menggerakkan kira-kira 1,400 pegawai dan anggota termasuk 257 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) untuk menghadapi fenomena luruan monsun,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa dilaporkan telah mengenal pasti sejumlah 349 lokasi seluruh Sarawak berisiko dilanda banjir jika hujan lebat berterusan.

Daripada jumlah itu, Sibu mencatat kawasan berisiko tertinggi dengan 90 lokasi, diikuti Miri (78), Samarahan (61), Kuching (54), Limbang (30), Sri Aman (23) dan Bintulu (13).

SourceTVS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru