Saturday, October 8, 2022

Dos penggalak kali kedua untuk mereka yang benar-benar memerlukan

Secara Rawak

KUCHING: Keperluan memberikan satu lagi dos penggalak bukan bermakna vaksin Covid-19 sebelum ini tidak berkesan, tegas Profesor Madya Dr Helmy Hazmi.

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Unimas berkata, pemberian dos penggalak ini menunjukkan bahawa pihak tertentu sudah mengetahui lebih lanjut hubung kait biologi antara virus Covid-19 dengan tubuh badan manusia.

“Pengamal perubatan akan memberikan saranan perubatan secara lebih profesional berdasarkan maklumat kajian, untuk keselamatan manusia sejagat.

Inilah pegangan kod etika setiap pengamal perubatan

“Lagipun, banyak juga vaksin lain memerlukan dos penggalak selang masa tertentu disebabkan ketahanan imuniti menurun mengikut masa contohnya, vaksin tifoid dan hepatitis B perlu diberikan dos penggalak selang tiga dan 10 tahun masing-masing, untuk memberikan perlindungan yang berkesan,” katanya.

Tambahnya, dos penggalak kali kedua ini kemungkinan perlu diberikan kepada individu yang benar-benar memerlukan sahaja seperti pekerja kesihatan berisiko tinggi dan golongan berisiko termasuk mereka yang berpenyakit serta imun lemah.

“Keputusan memberikan dos penggalak atau suntikan keempat ini selepas siri dos utama perlu disandarkan kepada penelitian terhadap data kajian yang
dilakukan sama ada di peringkat tempatan ataupun antarabangsa.

“Saya berasa, kajian yang dilaporkan oleh University of Yale dan Kementerian Kesihatan Republik Dominican hanyalah maklumat awal. Ia bukan petanda kritikal yang membolehkan kita terus mengubah polisi vaksinasi dengan segera pada satu malam.

“Kita perlu mempertimbangkan antara risiko dan faedah dalam memberikan dos penggalak kedua tersebut,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan pengumuman awal Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin harus dilihat sebagai satu sikap yang telus dan cakna Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan kesihatan yang tinggi dalam kalangan rakyat negara ini terutama sekali dengan varian Omicron yang berkemungkinan
besar sudah menular dalam komuniti.

Terdahulu, kumpulan teknikal KKM sedang mengkaji keperluan untuk memberikan dos penggalak keempat ekoran ancaman penularan jangkitan Omicron.

Khairy menjelaskan pihaknya mengambil maklum berhubung kajian yang mendapati pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima suntikan primer jenis Sinovac adalah tidak mencukupi bagi membendung jangkitan Omicron.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kumpulan teknikal tersebut akan mengemukakan syor berkaitan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) selepas kajian berkenaan dimuktamadkan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru