Tuesday, January 18, 2022

PKR Sarawak akan teruskan agenda reformasi meskipun tewas di semua kerusi

Secara Rawak

KUCHING: PKR Sarawak akan terus memperjuangkan hak rakyat Sarawak dan meneruskan agenda reformasi agar Sarawak ditadbir dengan lebih sempurna serta nasib rakyat akar umbi dibela meskipun kalah di kesemua 28 kerusi ditandinginya dalam PRN-12 pada 18 Dis lalu.

Katanya, KEADILAN Sarawak akan terus memainkan peranan semak imbang di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak agar Kerajaan GPS Sarawak akan memperkasakan kemajuan infrastruktur, penjanaan ekonomi dan peluang pekerjaan, reformasi urus tadbir dan antirasuah, memantapkan bidang kehakiman serta merapatkan jurang perkauman.

“(Ini adalah ) agar semua rakyat Sarawak hidup dalam harmoni dan mampu meraih kemakmuran bersama,” kata Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak.

Jelasnya, ia menghormati keputusan rakyat Sarawak yang memilih Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memimpin negeri ini.

PKR merupakan komponen PH yang terdiri daripada DAP dan Amanah.  DAP hanya memenangi dua kerusi daripada 26 kerusi ditandinginya manakala Amanah tewas kesemua sembilan kerusinya.

Kata kenyataan itu lagi, sungguhpun parti itu kecewa dengan kekalahan dalam PRN-12, namun  ia menerima hakikat tersebut.

“KEADILAN Sarawak menghormati keputusan  rakyat Sarawak dan menyeru kerajaan GPS melaksanakan mandat rakyat dengan penuh bertanggungjawab bagi memastikan rakyat Sarawak mendapat infrastruktur asas lebih baik, perkhidmatan awam yang lancar dan peluang pekerjaan serta penjanaan ekonomi mantap dalam masa lima tahun akan datang,’ katanya lagi.

“Kami telah mengenal pasti punca-punca kekalahan dan sedang mengkaji kelemahan-kelemahan lain agar dapat memahami kehendak rakyat Sarawak dan memperbaiki gerak kerja sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15,” katanya.

Katanya lagi, PKR negeri berterima kasih kepada semua ahli, jentera dan penyokong yang telah menyumbang tenaga dalam kempen PRN12 lalu.

Ia juga berterima kasih kepada semua pihak termasuk petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota keselamatan, dan  pegawai kerajaan yang bertugas secara langsung atau tidak langsung.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru