Monday, May 16, 2022

Banjir: Aset Op Banjir IPD Kuching siap sedia

Secara Rawak

KUCHING: Sumber manusia serta aset-aset Op Banjir IPD Kuching bersiap sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, kesiapsiagaan itu dibuat bagi membolehkan operasi menyelamat serta memindahkan mangsa banjir jika diperlukan.

Katanya, sejumlah 109 kawasan kerap banjir dan 56 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dikenal pasti di bawah pentadbiran IPD Kuching.

Selain itu beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa Daerah Kuching bersama Pejabat Daerah Kuching, IPK Sarawak dan lain-lain agensi juga telah diadakan bagi membincangkan persiapan dan persediaan menghadapi banjir.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat yang menduduki kawasan kerap banjir dan kerap dinaiki air agar sentiasa berwaspada dengan amaran hujan lebat berterusan dan angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorlogi Malaysia (MET Malaysia).

“Penduduk juga dinasihatkan supaya mengawasi anak-anak kecil agar tidak bermain air ketika musim banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, bilik gerakan IPD Kuching juga bersiap sedia untuk beroperasi pada bila-bila masa jika berlaku banjir dan boleh dihubungi pada talian 082-244444/ 082-243757.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru