KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 28 kes kematian Covid-19 semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 31,560.
Menurut perincian dikeluarkan GitHub, daripada jumlah itu, empat korban diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital (BID).
Pulau Pinang mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu enam kes, diikuti Selangor (lima), Perak (empat), Kelantan (tiga); Johor, Pahang, Sabah dan Terengganu (masing-masing dua) serta Kedah dan Sarawak (masing-masing satu).
Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Sebanyak 39,733 kes aktif dilaporkan, termasuk 265 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 147 yang memerlukan alat bantuan pernafasan sehingga tengah malam tadi.
Jumlah kumulatif kes Covid-19 direkodkan di negara ini ialah 2,767,044 setakat ini.