Friday, August 19, 2022

Tangguh umrah; usaha perlahankan serangan Omicron

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Penangguhan sementara aktiviti umrah bertujuan memperlahankan penularan varian Omicron COVID-19 dalam negara kerana berdasarkan data hampir 78 peratus ‘presumptive’ (jangkaan) Omicron baharu adalah daripada jemaah umrah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menerusi catatan di akaun Twitternya seperti dipetik Bernama, beliau berkata mengikut Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), ‘presumptive’ Omicron, telah 100 peratus disahkan Omicron melalui jujukan genom penuh.

“Penilaian risiko akan terus dilakukan. Buat masa ini Kementerian Kesihatan (KKM) tahu satu dos penggalak diperlukan. Lebih dari itu kita (KKM) kaji dari semasa ke semasa bila data saintifik baharu muncul. Yang penting respons kita (KKM) ikut data yang baharu. Ini yang dimaksud respons yang evidence-based,” katanya.

Kelmarin Khairy mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan ini bagi membendung penularan varian Omicron COVID-19.

Penangguhan itu ialah susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin kediaman masing-masing yang menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Khairy berkata kebolehjangkitan Omicron adalah lebih besar berbanding varian Delta dan jika denominator kes lebih besar, sudah pasti kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) lebih tinggi, dan KKM mahu mengelak sistem kesihatan negara menjadi lumpuh disebabkan varian ini, melalui strategi memperlahankan penularannya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan gelombang besar Omicron akan bermula di Malaysia seperti di negara-negara lain.

Beliau berkata justeru liputan dos penggalak yang luas; pemakaian pelitup muka; pengudaraan yang baik; TRIIS atau ‘Test, Report, Isolate, Inform, Seek’;  MySJ Trace dan kawalan pintu masuk antarabangsa, merupakan antara langkah memperlahankan penularan Omicron.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 berdasarkan jangkaan mengikut kes seharian  pada 1 Jan untuk seluruh negara adalah 0.99.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru