Thursday, May 19, 2022

PSB mahu sekat kemenangan GPS pada PRU nanti

Secara Rawak

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) berharap dapat bekerjasama dengan parti pembangkang tempatan bagi menyekat kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Datuk Sri Wong Soon Koh.

Presiden PSB itu berkata, parti itu tidak mempunyai masa untuk memikirkan kekalahan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), tetapi akan mempersiapkan tenaga untuk PRU yang dijangka berlangsung tahun ini.

“Habuk telah pun selesai pada PRN-12. GPS terus memerintah Sarawak, namun PSB akan terus memikul tanggungjawab kita dengan membuat pemantauan dan berusaha dengan gigih lagi.

“PSB tidak akan terjejas dengan kekalahan pada pilihan raya lalu dengan hanya mengekalkan Batu Lintang, Engkilili, Bawang Assan dan Ba Kelalan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bawang Assan itu.

Tambahnya, PSB tidak mempunyai akses sumber yang luas dan mendakwa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengekang penularan Covid-19 menjadi antara penyebab pembangkang gagal memenangi lebih banyak kerusi.

Jelasnya, tidak ada gunanya menuding jari kepada mana-mana pihak sekarang selepas PRN-12 berakhir. Bagaimanapun katanya, PSB mencatatkan undi popular kedua tertinggi dengan 18.69 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa PSB adalah kuasa yang perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.  Pada PRN-12, PSB hanya memenangi empat kerusi daripada 70 kerusi yang ditandingi, manakala DAP hanya menang dua kerusi.

Kedua-duanya ‘terpukul’ teruk. Secara keseluruhan parti pembangkang hanya menang enam kerusi, berbanding GPS yang ‘menyapu’ 76 kerusi daripada 82 yang dipertandingkan. Ia merupakan kemenangan bersejarah bagi parti pemerintah, di negeri ini, sebagai kemenangan terbesar yang pernah dilakar dalam sejarah PRN.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru