Thursday, May 19, 2022

Dr Sim bersama anda, untuk anda

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri baharu, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berikrar akan bekerja keras demi kebaikan semua rakyat Sarawak.

Menurut Adun Batu Kawah itu, beliau berazam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh warga Sarawak khususnya masyarakat Cina.

“Saya tidak sabar untuk memberikan yang terbaik bersama-sama rakan sekerja serta terus bekerja keras demi kebaikan semua anak Sarawak termasuk masyarakat Cina. “Mari terus memulakan kerja. Dengan anda, untuk anda, majulah Sarawak,” katanya, semalam.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pelantikannya dan dengan rendah hati berazam untuk menghormati amanah yang diberikan tersebut.

Dr Sim turut dilantik sebagai Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pelantikan kedua-dua jawatan itu dirasakannya peribadi.

“Mediang bapa saya Tan Sri Datuk Amar Sim Kheng Hong mula dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan pada 1970 dan Timbalan Ketua Menteri pada 1974 di bawah bekas Ketua Menteri Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub dan kemudiannya Ketua Menteri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Saya pula dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan pada 2016 dan menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak pada 2021 di bawah Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem dan kini Ketua Menteri Abang Johari – kedua-duanya adalah rakan sekerja arwah bapa saya dalam kabinet).

“Kebetulan pejabat saya sekarang di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya adalah pejabat yang sama, bagi arwah bapa,” ujarnya. Menariknya, katanya, beliau memegang jawatan hampir sama dengan mendiang bapanya dalam Kabinet Sarawak serta keduadua mereka bermula dari laluan berbeza.

“Ayah saya seorang kontraktor, kemudiannya menjadi usahawan kayu yang berjaya sebelum menyertai politik. “Saya pula bertuah kerana menjadi pakar kardiologi dan penyelidik klinikal hospital awam yang memegang jawatan profesional di peringkat nasional dan antarabangsa sebelum memasuki politik,” katanya.

Tambahnya, tahun ini juga genap 10 tahun penglibatan aktifnya dalam politik. “Hidup mungkin takdir yang ditentukan Tuhan tetapi anda tetap perlu mengorak langkah dan berusaha bersungguh-sungguh dalam perjalanan hidup,” katanya lagi.

Pada Khamis, Abang Johari Tun Openg mengumumkan barisan baharu Kabinet Sarawak yang terdiri daripada 10 menteri dan 26 menteri muda dengan menyaksikan rombakan besar serta penjenamaan semula beberapa kementerian, yang membabitkan 12 muka baharu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru