Sunday, June 26, 2022

Kabinet Abang Johari bawa Sarawak ke 2030

Secara Rawak

Selain mengekalkan jumlah menteri penuh, Ketua Menteri juga mengekalkan jumlah timbalannya dalam kabinet baharu yang diumumkan pada Khamis. 

Datuk Patinggi  Tan Sri Abang Johari Tun Openg  melalui siaran langsung di TV mengumumkan sepuluh menteri dan 26 menteri muda dalam sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di Kuching pada jam 3.30 petang Khamis. 

Kecuali kali ini satu daripada tiga jawatan berkenaan diberi kepada Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.  Hal ini sesuai dengan pencapaian parti tertua Sarawak yang ditubuhkan pada 1959 itu. Dua lagi kekal disandang oleh  pemimpin kanan dari sayap Bumiputera dan Pesaka PBB. 

SUPP memenangi 13 daripada 18 kerusi  DUN ditandinginya dalam PRN-12 pada 18 Disember lalu. Dengan sendirinya, jawatan itu terlepas daripada genggaman PRS yang memenangi kesemua 11 kerusi ditandinginya. 

Jadi, PRS terpaksa menerima kenyataan, tidak mungkin Abang Johari mewujudkan empat jawatan Timbalan Ketua Menteri, apatah lagi parti itu tidak mempunyai Presiden, malah Timbalan Presiden juga bukan Ahli Dewan Undangan Negeri. Mungkin sahaja kedudukan itu berubah pada masa depan lebih-lebih lagi kalau SUPP tidak dapat mengekalkan pencapaiannya  dalam PRN-13 nanti. 

Meskipun mewarisi kabinet Tan Sri Adenan Satem telah menjadi Ketua Menteri pada 13 Januari 2017, namun Abang Johari telah melakukan satu rombakan sekitar lima bulan kemudian. Kalau diperinci, pada amnya, tidak berlaku  perubahan  drastik dilakukan. 

Hal ini dapat difahami kerana, sebagai Ketua Menteri yang telah memperkenalkan 110 inisiatif meliputi pelbagai bidang dalam tempoh lima tahun lalu, beliau hendak memastikan berlakunya kesinambungan dari segi pembangunan.  

Jika diteliti, teras kepada kabinet baharu ini ialah mengutamakan hak Sarawak, berorientasikan kepentingan dan masa depan rakyatnya. Sesungguhnya, perkara ini dimanifestasikan dalam 34 janji dan tekad yang dibentangkan kepada rakyat menjelang PRN-12. 

Berlainan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerajui Pakatan Harapan yang menganggap manifesto bukan kitab suci, bagi Abang Johari, janji dan tekad dalam manifesto perlu dikotakan. Beliau sedar bahawa beliau dan barisan kepemimpinan GPS akan dinilai dan dihakimi mulai sekarang. 

Penilaian dan penghakiman terbesar dan paling penting akan dilakukan oleh rakyat dalam tempoh lima tahun lagi. Justeru, beliau dan barisan kabinetnya tidak boleh main-main dengan tekad tersebut. Sebaliknya, mereka perlu melaksanakan segala janji itu dengan sebaik mungkin. 

Mereka tidak boleh gagal atau memberi alasan. Rakyat yang kritis tidak akan dapat menelannya bulat-bulat. Justeru, selepas majlis mengangkat sumpah yang dijangka minggu depan, menteri dan menteri muda perlu terus mengerahkan segala pemikiran, tenaga dan daya usaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. 

Sesungguhnya, cabaran yang dihadapi rakyat selepas ancaman Covid-19 bukannya kecil, dari segi ekonomi, kewangan dan peluang pekerjaan. Kita berharap jangkitan Covid-19 akan berakhir, dan kini ada tanda Sarawak akan keluar daripada kemelut berkenaan.

Dalam manifesto itu, beliau menegaskan, dengan mandat penuh daripada rakyat Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi, GPS berjanji dan bertekad untuk terus melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi mempertingkatkan kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan dan kegemilangan demi rakyat Sarawak.

Itulah sebabnya beliau mengambil masa 12 hari untuk memikirkan dan mempertimbangkan wakil rakyat terbaik bagi menggalas tugas dan tanggungjawab berat yang terletak di atas bahu beliau dan Kerajaaan GPS.

Kesudahannya, kabinet berkenaan bukan sahaja memenuhi kehendak parti komponen, tetapi juga bersikap inklusif dengan menampilkan semua kaum, termasuk Orang Ulu. 

Mandat kukuh dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi perlu dimanfaatkan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat. Kabinet ini perlu dilihat bergerak sebagai pasukan padu di atas landasan  yang sama dan betul. 

Kabinet itu  juga perlu sentiasa mengutamakan rakyat dengan bekerja bersungguh-sungguh, tanpa terjebak dalam perlakuan dan perbuatan yang dapat mencemarkan imej dan reputasi kerajaan. 

Apatah lagi kerajaan pimpinan Abang Johari dikenali sebagai kerajaan yang begitu mengutamakan integriti dan tadbir urus yang baik.

Penampilan 12 wakil rakyat sebagai menteri muda menggambarkan komitmen Ketua Menteri untuk memastikan  berlakunya kesinambungan kepemimpinan di negeri ini.  

Muka baharu perlu sentiasa ditampilkan kerana untuk menjadi pemimpin yang punya kearifan, kebijaksanaan dan kemahiran, mereka perlu diberi peluang. Bakat kepemimpinan politik perlu diasah dan diasuh dalam waktu yang munasabah. 

Tidak ada jalan singkat untuk menjadi pemimpin politik yang handal dan mampu menangani cabaran dan tuntutan tugas dengan baik. Itulah sebabnya, kali ini, kita dapat menyaksikan 12 muka baharu ditampikan daripada pelbagai parti politik. 

Mereka juga terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan profesion, usia, pengalaman, kemahiran dan kedudukan dalam parti. Pemimpin pelapis seperti Datuk Gerald Rentap Jabu, Datuk Majang Renggi, Michael Tiang dan Mohamad Razi Sitam misalnya, perlu membuktikan keupayaan mereka.

Sudah pasti Ketua Menteri dan juga rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap mereka. Mereka perlu memberi yang terbaik. Di mana mereka berada sepuluh atau 20 tahun akan datang banyak bergantung kepada sikap, komitmen, kewibawaan dan kepintaran mereka.

Daripada pengamatan, sementara aspek kesinambungan dan kestabilan amat ditekankan, kabinet ini juga memberi fokus khas terhadap bidang tertentu. Itulah sebabnya, kementerian sebelum ini dikemas kini, diubah suai dan ditambah baik.  

Malah, dijenamakan semula. Kementerian yang dibentuk itu ialah kementerian yang berfungsi, relevan, dan sesuai dengan tuntutan dan harapan rakyat dan masa depan Sarawak. 

Kini, tugas dan cabaran berat terletak di atas bahu mereka yang telah diberi amanah besar itu. Mereka perlu membantu Abang Johari untuk merealisasikan misi dan agenda besar beliau.

Yang jelas penekanan diberi kepada pembangunan prasarana, ekonomi pendidikan dan sumber manusia. Sebab, Abang Johari percaya bahawa inilah  faktor yang menentukan kemajuan dan kelangsungan Sarawak pada masa depan. 

Inilah juga yang menjamin agenda dan misinya untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi dapat dicapai menjelang 2030. 

Aspek atau bidang yang diberi fokus kelihatanya ialah ekonomi baharu,  kemampanan alam sekitar, pembangunan wilayah, telekomunikasi, pembangunan keusahawanan, pembangunan bakat dan kesihatan awam.  Muka baharu yang menjadi Menteri Muda ditampilkan hampir di semua kementerian. 

Berdasarkan tinjauan sebelum PRN-12, didapati antara masalah yang dibangkitkan rakyat ialah kemudahan asas, bekalan air bersih dan elektrik, kemudahan Internet, kegiatan ekonomi dan peluang pekerjaan. Kementerian yang dibentuk itu  jelas mengambil kira keperluan masa kini dan masa depan sejajar dengan perubahan landskap politik, sosial, ekonomi dan alam sekitar.  

Tidak syak lagi, Ketua Menteri telah memberi perhatian serius  untuk memastikan cabaran dalam bidang berkenaan dapat ditangani dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya, kementerian yang dibentuk itu meliputi bidang yang munasabah, relevan dan bersikap futuristik dengan agenda dan tekad untuk memastikan Sarawak muncul sebagai negeri stabil, maju, makmur dan gemilang.

Mereka diharapkan dapat membawa kesegaran dari segi idea, strategi, pendekatan dan rancangan yang bakal diperkenalkan kementerian terbabit, sesuai dengan cabaran dan ujian baharu yang bakal dihadapinya selepas ancaman Covid-19.

Ingat, prestasi anda akan dinilai oleh Ketua Menteri dan rakyat. Tiada masa untuk anda berbulan madu. Segeralah buat perancangan strategik  dan langkah tepat dan berani bagi memastikan semua yang dilaksanakan itu akhirnya menguntungkan rakyat dan negeri ini. Anda turut bertanggungjawab merealisasikan impian menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.

 Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru