Tuesday, June 28, 2022

Berikan sokongan padu kepada barisan kabinet Sarawak – Fazzrudin

Secara Rawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Fazzrudin Abdul Rahman menyokong sepenuhnya barisan kabinet yang telah diumumkan dan yakin kebijaksanaan Ketua Menteri dalam melantik ahli-ahli kabinet.

Menurutnya, ia bagi memastikan kesinambungan gerak kerja Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk lima tahun akan datang bagi kesejahteraan dan manfaat rakyat.

“Ia juga untuk melaksanakan pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 atau PCDS yang akan berlangsung sehingga tahun 2030 bagi memulihkan ekonomi selepas fasa pandemik serta memastikan masa depan negeri ini.

“Saya juga yakin dengan barisan kabinet yang cekap dan kompeten akan dapat meneruskan lebih 100 inisiatif yang telah dilaksanakan di bawah kerajaan pimpinan Ketua Menteri pada penggal yang lalu.

“Ini baik dari segi menuntut dan mempertahankan hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, memastikan pembangunan berterusan khususnya di luar bandar dan melengkapkan infrastruktur asas kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan Jumaat.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu percaya dengan barisan kabinet yang baharu ini akan membolehkan Kerajaan GPS mengambil langkah untuk melaksanakan janji-janji yang telah dibentang dalam manifesto pilihan raya lalu.

“Justeru, saya menyeru kepada semua pemimpin, baik dari peringkat akar umbi sehingga ke pucuk pimpinan untuk memberikan sokongan padu kepada barisan kabinet ini,” jelasnya.

Beliau turut meminta rakyat Sarawak untuk terus memberikan sokongan kepada Kerajaan GPS bagi memastikan kestabilan politik di Sarawak serta mengekalkan perpaduan dan keharmonian.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru