Friday, October 7, 2022

Macau Scam: Pesara kerajaan rugi RM1.6 juta

Secara Rawak

SIBU: Seorang pesara kerajaan menanggung kerugian berjumlah RM1,638,943 akibat diperdaya sindiket penipuan Macau Scam.

Kejadian bermula penghujung Oktober lalu apabila seorang wanita dihubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen insurans. Ejen itu mengatakan  wanita (pengadu) mempunyai tuntutan insurans kemalangan yang belum selesai di Bukit Bintang, Petaling Jaya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Dr. Collin Babat berkata, panggilan seterusnya disambungkan kepada seorang anggota polis bernama ‘Sarjan Razif’ mengatakan wanita itu terlibat dengan penggubalan wang haram sejak tahun 2020 sehingga 2021 dan satu waran tangkap telah dikeluarkan.

“Sarjan Razif menawarkan pengadu untuk menyelesaikan kes terhadapnya dan perlu membuka akaun bank yang boleh diakses di bawah kebenaran ‘Bank Negara Malaysia’ bagi tujuan siasatan.

“Pengadu kemudiannya membuka dua akaun bank atas namanya berdasarkan arahan yang diberi dan telah menyerahkan “username” dan “password” akaun bank kepada suspek,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Katanya, awal November lalu, pengadu telah memasukan wang simpanannya ke dalam kedua akaun tersebut bagi tujuan siasatan.

“Pada penghujung Disember, pengadu telah menceritakan hal tersebut kepada adiknya dan  membawanya ke bank bagi memeriksa akaun bank tersebut.

“Pengadu menyedari dirinya diperdaya selepas memeriksa penyata akaun pengadu di bank dan mendapati terdapat 52 transaksi yang dibuat mulai awal November hingga awal Disember,” jelasnya.

Katanya lagi, polis menerima laporan berhubung kejadian pada 1.21 petang Rabu lalu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru