Monday, May 16, 2022

Michael Tiang mahu buat sehabis baik

Secara Rawak

KUCHING: Michael Tiang yakin dapat berkhidmat dengan lebih baik di kawasan Pelawan setelah diberikan jawatan menteri dalam Kabinet Negeri sebagai Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.

Menurutnya, pelantikan yang diamanahkan kepadanya dilihat sebagai misi, tugas dan tanggungjawab baharu yang perlu dilaksanakan dengan sehabis baik.

“Platform baharu yang diberikan itu akan memberi lebih banyak sumber untuk memastikan manifesto yang ditawarkan berjalan lancar bagi membina Pelawan baharu dan lebih baik untuk tempoh yang akan datang.

“Saya amat berbesar hati atas pelantikan tersebut, justeru platform baharu yang diberikan akan digunakan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau juga menzahirkan rasa terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memberikan kepercayaan dan keyakinan kepadanya untuk berkhidmat sebagai Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II.

Seterusnya, Michael juga berterima kasih kepada presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan timbalan ketua menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, kerana memberi peluang kepadanya untuk melibatkan diri dalam kementerian tersebut.

Tambahnya, penduduk Pelawan juga telah membantunya untuk dilantik sebagai menteri muda, kerana jika mereka tidak memberikan mandat, pasti jawatan tersebut tidak akan diberikan kepadanya.

Pada masa yang sama, Adun Pelawan ini juga dengan rendah diri menyatakan bahawa beliau masih belajar untuk menjadi yang lebih baik. “Saya sangat mengalu-alukan semua jenis cadangan membina daripada orang ramai supaya sama-sama dapat mempelajari dan memahami lebih lanjut mengenai isu-isu berkaitan rakyat.

“Harapan saya untuk tahun hadapan adalah supaya kami dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat membawa perubahan dan lebih banyak pembangunan terutamanya di kawasan Pelawan ini,” katanya.

Beliau juga berikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan akan terus memperjuangkan kepentingan dan hak Sarawak sepanjang tempoh tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru