Wednesday, June 29, 2022

Lima petua menguruskan konflik di rumah

Secara Rawak

SHAH ALAM: Masa terperap di dalam rumah sepanjang PKP boleh dimanfaatkan untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga, tetapi pada masa yang sama menimbulkan cabaran tertentu.

Bagi keluarga yang lebih besar, mungkin sukar untuk menghabiskan masa sehari suntuk tanpa ada ahli keluarga yang hilang sabar, rasa resah atau mungkin, ada yang menangis. Menurut Tinjau Selidik Kesejahteraan Bermula Dari Rumah (Wellness Begins at Home) Gardenia, tiga punca utama perselisihan dalam isi rumah Malaysia semasa PKP termasuk:

  1. Pembahagian tugas mengemas dan membersih rumah,
  2. Masalah belajar dalam talian dan kerja sekolah, dan
  3. Penghuni rumah mengganggu semasa panggilan kerja atau kelas dalam talian diadakan.

Pada hakikatnya, kita mampu mengurus dan mengatasi masalah ini. Malah kita mungkin sudah tahu cara-cara untuk menyelesaikan pertikaian di tempat kerja, dan kita hanya perlu menyesuaikan kaedah ini supaya turut berkesan dalam suasana di rumah.

Lima gaya utama pengurusan konflik

Pengurusan konflik ialah amalan menyelesaikan pertikaian dengan cara yang adil, saksama dan cekap. Ia lazimnya digunakan di tempat kerja, tetapi jika anda terus membaca artikel ini, anda boleh lihat bahawa kemahiran yang sama juga boleh diamalkan di rumah sendiri.

1. Mengalah

Gaya pengurusan ini membolehkan salah seorang ahli keluarga untuk ‘menang’ dengan memberikan apa yang dikehendakinya. Pada asasnya salah seorang mesti mengalah demi kepentingan orang lain.

Positif: Pertikaian kecil boleh diselesaikan dengan mudah dan pantas.

Negatif: Ahli keluarga yang lantang mungkin mendapat apa yang dikehendaki kerana lebih mendesak dan berani bersuara. Atau jika anda daripada keluarga tradisional Asia yang menekankan pangkat dalam keluarga sebagai tanda hormat, mereka yang lebih muda dan kurang peranan lazimnya berasa suara mereka tidak didengari.

2. Elakkan

Gaya/cara mengelakkan konflik menggunakan taktik ‘bawa bertenang’ untuk memastikan situasi panas kembali reda. Ada masanya, anda juga boleh mengasingkan ahli keluarga yang sedang marah daripada perbincangan.

Positif: Sesuatu pertikaian mungkin terlalu dipengaruhi perasaan, oleh yang demikian meluangkan masa untuk bertenang akan membantu ahli keluarga berkenaan memberi tumpuan terhadap isu yang dihadapi.

Negatif: Jika anda sentiasa mengelakkan konflik tanpa mencari penyelesaian, masalah ini mungkin kembali menghantui keluarga anda atau meledak menjadi isu yang lebih besar.

3. Tolak Ansur

Bertolak ansur bermaksud mencari jalan tengah. Pendekatan ‘menang-menang’ ini menjadikan pengorbanan seseorang lebih mudah diterima.

PositifAhli-ahli keluarga yang terlibat akan berasa diri mereka diberi perhatian. Perasaan setiap ahli keluarga harus diambil kira.

Negatif: Mengorbankan sesuatu mungkin mempunyai maksud berbeza bagi setiap ahli keluarga.  Sesetengah pengorbanan mungkin nampak lebih besar daripada yang lain.

4. Kerjasama

Gaya kerjasama mungkin kaedah paling panjang dan mencabar untuk menguruskan konflik; terutamanya kerana semua ahli keluarga perlu duduk semeja, mempertimbangkan setiap keperluan dan kehendak setiap ahli dan mencari jalan penyelesaian bersama-sama. Walaupun setiap gaya pengurusan memerlukan komunikasi, gaya ini memerlukan paling banyak interaksi.

Positif: Berpuas hati

Negatif: Anda mungkin perlu meluangkan masa sepanjang hujung minggu untuk mencapai kata sepakat.

5. Bertegas

 Ada masanya anda sebagai ibu bapa perlu bertegas. Walaupun anak-anak mungkin tidak suka, ibu bapa selaku orang tua mesti membuat keputusan yang sukar.

Positif: Sebagai ibu bapa, anda rasa selesa dan yakin dengan keputusan yang anda buat kerana hakikatnya, anda tahu apa yang terbaik untuk keluarga.

Negatif: Malangnya, anak-anak anda mungkin tidak faham pada mulanya dan mungkin tidak puas hati dengan anda buat seketika.

Kata Akhir

 Setiap ahli keluarga kita berbeza, dan begitu juga setiap pertikaian. Tiada satu kaedah sesuai untuk semua bagi menyelesaikan setiap isu di dalam keluarga. Malah, kita perlu menunjukkan sikap empati atau kefahaman, terutamanya dalam keadaan semasa apabila kebanyakan orang berada dalam tekanan, lebih-lebih lagi dengan ketidakpastian yang timbul. Tekanan dan emosi kita pada ketika ini agak tinggi.

Walaupun negara kita akan memasuki fasa endemik, kita masih perlu berwaspada dan berhati-hati dalam aktiviti harian. Terus berbuat baik dan menjaga hati antara satu sama lain kerana kita tidak tahu apa yang sedang dilalui oleh mereka akibat pandemik. Ramai yang kehilangan orang tersayang dan punca pendapatan, dan bagi sesetengah orang, kehidupan tidak lagi sama seperti dulu.


Gardenia KL bertekad untuk terus memberikan sokongan kukuh kepada usaha negara pulih daripada pandemik COVID-19. Sempena Minggu Kesihatan Mental Sedunia 2021, hasil penemuan daripada Tinjau Selidik ‘Wellness Begins at Home’ telah dibincangkan dalam forum secara langsung menerusi akaun Facebook @GardeniaKL bersama penggiat kesihatan mental selebriti dan Penaung MIASA, Che Puan Sarimah Ibrahim; penggiat kesihatan mental dan Presiden MIASA, Anita Abu Bakar; dan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun. Perbincangan meliputi kesan pandemik terhadap rakyat Malaysia, petua gaya hidup lebih sihat dan banyak lagi.

Jika anda terlepas program ini, usah bimbang! Anda masih boleh mengikuti perbincangan di laman Facebook Gardenia KL: https://fb.watch/8Lrd_rysnb/

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru