Tuesday, September 27, 2022

Kabinet Abang Johari kukuhkan kedudukan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, barisan kabinet yang dilantik oleh beliau akan berusaha untuk mengukuhkan status Perlembagaan Sarawak sebagai rakan serantau mengikut pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dengan merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan lampirannya.

“ Menerusi MA-63, rujukan asas hak-hak negeri Borneo Sarawak dan Sabah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Barisan kabinet baharu Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diumumkan semalam akan memainkan peranan secara proaktif untuk mengukuhkan peranan Sarawak selaku ‘rakan kongsi’ dalam Persekutuan Malaysia.

Sebanyak 10 orang dilantik sebagai menteri dan 26 orang sebagai menteri muda.

Abang Johari berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan barisan kabinetnya, genap 12 hari selepas GPS   memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 18 Dis lalu.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, barisan kabinet yang baharu ini juga akan berusaha melaksanakan dasar ke arah era digital, pembangunan mampan, penyahkarbonan dan ekonomi baharu.

“ Ini bagi memastikan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas  dinamakan sebagai Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Amar Ali Awang Tengah Hasan sebagai Timbalan Ketua Menteri II dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sri Dr. Sim Kui Hian seperti dijangka dilantik  sebagai Timbalan Ketua Menteri III.

Abang Johari memegang tiga portfolio iaitu selaku Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar serta Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.

Douglas Uggah pula dilantik sebagai Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan serta Menteri Kedua Kewangan dan Ekonomi Baharu manakala Awang Tengah selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan serta Menteri Kedua Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli.

Sementara itu, Dr. Sim pula dilantik sebagai Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru