Thursday, May 19, 2022

Dr Sim ikut jejak langkah ayahnya

Secara Rawak

KUCHING: SUPP, parti tertua Sarawak yang ditubuhkan pada 1959 mendapat kembali jawatan  Timbalan Ketua Menteri Sarawak semalam selepas kehilangannya selama sepuluh tahun.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III dalam barisan kabinet baharu Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

Ayah beliau Tan Sri Sim Kheng Hong pernah menjawat jawatan itu dari 1974 hingga 1991 di bawah kepemimpinan Tun Abdul Rahman Yakub dan Tun Abdul Taib Mahmud.

Presiden SUPP, Tan Sri George Chan Hong Nam menjawat jawatan itu dari 1996 hingga 2011 sebelum parti itu kalah teruk pada 2016 dengan hanya memenangi tujuh kerusi.

Ketua Menteri turut mengumumkan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Timbalan Ketua Menteri I manakala Datuk Amar Ali Awang Tengah Hasan sebagai Timbalan Ketua Menteri II.

Dengan itu, jumlah jawatan itu kekal tiga.

Sebelum ini, Presiden PRS, Tan Sri Dr James Jemut Masing menyandang jawatan itu. Presiden PRS itu meninggal dunia pada Okt lalu sekali gus meninggalkan kelompongan dalam kepemimpinan parti itu.

Selain Abang Johari dan tiga Timbalan Ketua Menteri, tujuh wakil rakyat GPS lain yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke -12 Sarawak lalu turut dilantik sebagai Menteri Penuh manakala 25 lantik sebagai Menteri Muda.

GPS pimpinan Abang Johari berjaya membentuk kerajaan negeri baharu selepas memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 18 Dis lalu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru