Tuesday, August 9, 2022

Khianat bapa sendiri, lelaki dapat denda

Secara Rawak

KUCHING: Seorang pemandu e-hailing dijatuhi hukuman denda RM3,500 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas kesalahan melakukan khianat.

Elaster Boniface, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja memecahkan telefon pintar, kamera litar tertutup (CCTV), pintu, dan cermin motosikal milik bapanya hingga menyebabkan kerugian RM800.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit di kediaman mereka di Taman Malihah, Jalan Matang, di sini, kira-kira jam 9.00 malam, 24 Disember lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh yang baru pulang dari Kampung Sagah dalam keadaan mabuk memanggil rakan-rakannya datang ke rumah.

Namun demikian, kawan-kawannya tidak datang ke rumah menyebabkan tertuduh tidak puas hati lalu mengambil pembesar suara radio dan memasang lagu dengan kuat hingga menganggu ketenteraman jiran daripada bunyi bising terbabit.

Tertuduh yang marah dengan tindakan bapanya yang membuat laporan polis kerana menganggu ketenteraman jiran menyebabkan insiden mengamuk berlaku hingga merosakkan harta benda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru