Tuesday, January 18, 2022

Kabinet Abang Johari realisasi impian rakyat Sarawak

Secara Rawak

Semalam, ketua pengarang semua akhbar dan media menerima nota menyatakan bahawa Ketua Menteri akan mengadakan sidang media khas pada jam 3 petang ini.

Sidang media itu pasti akan mendapat perhatian wartawan, editor dan pemerhati politik di negeri ini.

Segera bangkit dalam pemikiran, apakah tujuan sidang media khas itu diadakan? Besar kemungkinan melalui   sidang media yang bakal diadakan di Wisma Bapa Malaysia di Kuching itu Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan senarai kabinet baharu beliau.

Kalau betul, pengumuman itu bertujuan untuk mengumumkan kabinet baharu, ini bermakna ia diadakan, 12 hari selepas PRN-12 diadakan. Dalam PRN pada 18 Dis lalu, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN Sarawak.

Di sebalik mandat sendiri yang kukuh itu, pencapaian yang diukir oleh Abang Johari adalah yang terbaik pernah dicatatkan oleh mana-mana parti pemerintah sejak PRN pertama Sarawak diadakan 52 tahun lalu pada 1969.

Kelihatannya, Pengerusi GPS itu perlu memikirkan dengan amat mendalam barisan yang bakal ditampilkan.  Tan Sri  Adenan Satem, Pengerusi BN Negeri mengumumkan barisan kabinetnya pada  Jumaat, 13 Mei 2016 pada sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri. Ia dilakukan enam hari selepas PRN-11 diadakan pada 7 Mei 2016.

Dalam pengumuman itu, Adenan sendiri menyandang dua portfolio iaitu Menteri Kewangan dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar.

Beliau turut menamakan tiga Timbalan Ketua Menteri (TKM) berbanding dua sebelum ini.

Mereka ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah, Adun Baleh Tan Sri Dr James Jemut Masing dan ADUN Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Uggah turut dilantik sebagai Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar, manakala Masing, yang juga bekas Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, kini menjadi Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan. Abang Johari juga menjawat jawatan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan selain Menteri Perumahan dan Urbanisasi.

Adenan meninggal dunia pada 11 Jan 2017, manakala Abang Johari, timbalan Presiden PBB mengangkat sumpah pada 13 Jan.

Namun, lima bulan setengah selepas menerajui negeri ini, Abang Johari telah mengemukan senarai kabinet baharu atau  melakukan rombakan terhadap kabinet yang dikemukakan oleh Adenan sekitar setahun sebelumnya. Hal ini memang wajar  sebagaimana pernah dilakukan oleh mana-mana ketua negeri atau negara sebelum ini. Sebab, tumpuan dan agenda dua pemimpin tidak semestinya serupa. Justeru, rombakan adalah perlu selari dengan fokus dan agenda baharu yang ditetapkan.

Rombakan itu  turut menyaksikan  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri. Beliau turut dilantik Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan serta Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua.

Yang kini menjadi teka-teki ialah, adakah Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian akan dilantik sebagai TKM? Atau jawatan itu akan diisi oleh pemimpin PRS? Dari segi matematik dan amalan  tradisi, jawatan itu seharusnya diberi kepada parti yang lebih banyak menyumbang kepada kerusi dalam PRN lalu. Justeru, SUPP, parti teruta sarawak yang ditubuhkan pada 1959, wajar diberi jawatan itu. Sebab, SUPP memenangi 13 daripada 18 kerusi ditandinginya, manakala PRS memenangi kesemua 11 kerusi.

Lagipun, dipercayai Awang Tengah dan Uggah pasti akan kekal sebagai TKM, seorang mewakili Melayu-Melanau dan seorang mewakili masyarakat Dayak. Justeru, memang sesuai, sekali gus menggambarkan dasar keterangkuman dari segi kaum, jika Dr Sim dilantik ke jawatan itu. Dengan itu juga, masyarakat Cina akan bertindak balas positif jika beliau menduduki jawatan penting itu.

Bagaimana pula dengan kedudukan  Datuk Seri Tiong King Sing yang memenangi kerusi Dudong dengan bergaya? Pasti sebagai Presiden PDP, beliau akan diberi jawatan menteri penuh. Adakah mungkin sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan?

Dalam kabinet baharu itu, beberapa kementerian baharu diwujudkan selain pertukaran nama kementerian selaras dengan perancangan kerajaan negeri.  Selain menjadi Ketua Menteri, Abang Johari sendiri bertanggungjawab menjaga portfolio seperti Pembangunan Tenaga, Minyak dan Gas, Digital Ekonomi dan Telekomunikasi serta Pengangkutan Awam Bandar Kuching (termasuk LRT). Beliau juga menjawab jawatan Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi serta Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli.

Sebelum PRN lalu, terdapat 13 kementerian dan 10 menteri. Adakah jumlah kementerian itu akan dikekalkan, dikurangkan atau ditambah?

Besar kemungkinan Abang Johari akan melakukan perubahan termasuk mencantumkan, menamakan dan menjenamakan semula beberapa kementerian. Malah, bukan mengejutkan jika beliau mewujudkan kementerian baharu sesuai dengan fokus atau tumpuan menjelang tahun 2030, terutama dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kabinet ini  perlu selaras dengan semangat, agenda dan matlamat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030. Juga, perlu berupaya merealisasikan dan menterjemahkan 34 janji dan tekad dalam manifesto GPS yang membawa kemenangan besar tempoh hari. Manifesto berteraskan tema menjamin kestabilan, kemakmuran dan kegemilangan itu perlu diterjemahkan ke dalam realiti.

Oleh itu, menjadi tugas dan tanggungjawab kabinet baharu Abang Johari untuk memastikan apa-apa yang terkandung dalam manifesto itu, dan inisiatif lain, dapat dicapai dengan sebaik mungkin. Ingat, setakat ini beliau telah memperkenalkan 110 inisiatif meliputi politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kebajikan, wanita, prasarana, telekomunikasi, sukan, tanah, pertanian, sektor awam, dan beberapa lagi.

Segala inisiatif, tekad dan dasar yang bakal diperkenalkan perlu dilaksanakan dengan amalan tadbir urus yang baik seperti yang sering ditegaskan oleh beliau.

Dalam hubungan ini, menempatkan mereka yang tepat di tempat yang tepat adalah penting. Maksudnya, menteri dan menteri muda yang bakal dilantik perlu berupaya bergerak seiring sejalan dengan langkah Abang Johari.

Mereka adalah bagai pasukan bola sepak yang perlu saling membantu untuk menjaringkan gol dengan pasukan diketuai  kaptennya, Abang Johari atas dasar ‘Utamakan Sarawak’ dan Sarawak untuk Semua, Semua untuk Sarawak.’

“Rakyat telah memberi mandat kepada kita, Sarawak diutamakan, ‘Sarawak First‘,” kata Abang Johari dalam ucapan sempena kemenangan GPS pada malam 18 Dis lalu.

Menurut beliau, rakyat telah memberi isyarat bahawa kestabilan politik adalah penting bagi GPS meneruskan usaha pembangunan di Bumi Kenyalang itu.

“Mandat ini juga adalah memberi kuasa kepada GPS untuk teruskan pembangunan ekonomi yang mampan dan dasar sosial yang mengutamakan rakyat,” katanya.

Jelas beliau, kemenangan itu juga memberi isyarat  supaya pembangunan ekonomi dan sosial dapat diteruskan dengan cemerlang.

Maka, mereka bukan sahaja perlu dipilih berdasarkan kriteria konvensional seperti mewakili parti, kaum, wilayah, gender, dan usia, tetapi juga, perlu memiliki sifat yang betul. Anggota kabinet yang didambakan ialah mereka yang memiliki kelayakan tinggi, berkemahiran, berpengalaman, gigih dan komited membantiu parti dan kerajaan, serta memiliki wibawa dan integriti tinggi.

Kabinet ini perlu diberi 100 hari untuk menyelesaikan isu utama, segera dan penting yang membelenggu rakyat dan negeri ini. Mereka perlu diberi  Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk dipenuhi dalam tempoh berkenaan, sementara mereka juga perlu menetapkan sasaran jangka sederhana dan panjang, dalam tempoh lima tahun akan datang. Sebab, kerajaan ini pasti akan dihakimi oleh rakyat sekali lagi dalam tempoh lima tahun lagi.

Kita mahu kabinet yang memiliki wawasan, berpandangan jauh, bekerja sebagai satu pasukan padu, memahami aspirasi dan kehendak rakyat, pantas bekerja dan tidak mementingkan diri. Rakyat juga mahu anggota kabinet yang bersih, pintar, berupaya  membawa transformasi, serta sentiasa ghairah untuk membawa pembangunan demi kebajikan dan kepentingan rakyat dan masa depan Sarawak menuju 2030.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru