Tuesday, January 18, 2022

Lelaki didenda beri maklumat palsu

Secara Rawak

KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi maklumat palsu di Pejabat Pegawai Penyiasat Trafik IPD Padawan.

Steve Ashley, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan maklumat palsu kepada pegawai kerajaan di Pejabat Pegawai Penyiasat Trafik IPD Padawan, sekitar jam 4.00 petang, 23 Jun lepas.

Oleh sebab itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 177 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah ditahan oleh pihak polis kerana didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Semasa dalam siasatan, tertuduh telah menyerahkan geran kenderaan motosikal milik ayahnya kepada pegawai polis dan menyatakan bahawa geran berkenaan adalah geran motosikalnya.

Hasil siasatan lanjut, tertuduh mengaku dia telah memberikan maklumat palsu kerana enggan dituduh menunggang motosikal curi.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru