Tuesday, January 18, 2022

Wanita didenda miliki dadah

Secara Rawak

KUCHING: Seorang wanita tempatan berusia 31 tahun, dijatuhi hukuman denda RM3,600 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.65 gram.

Tertuduh Ee Ling, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah tersebut bersama-sama seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Padawan, sekitar jam 11.15 pagi, 21 Julai lepas.

Oleh itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta yang sama.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri (JSJN) IPK Sarawak telah menangkap tertuduh bersama seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah.

Hasil pemeriksaan menjumpai sebotol bertulis ‘garcinia cambogia’ yang mengandungi 38 biji pil eramin dengan berat kasar 9.95 gram dan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 2.50 gram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Setakat hari ini, tertuduh didapati telah membayar denda yang dikenakan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru