Thursday, August 18, 2022

PM terus digesa pertimbang pengeluaran i-Citra

Secara Rawak

SHAH ALAM: Pemuda Umno terus menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan semula kebenaran untuk mengeluarkan RM10,000 secara sekali beri menerusi i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Perdana Menteri tidak seharusnya mendengar pandangan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebaliknya mendengar rintihan rakyat yang realitinya terdesak mahu meneruskan kelangsungan hidup.

“Dengan pengeluaran caruman KWSP terakhir ini, kami yakin, rakyat yang terjejas dapat merancang dan memulihkan kenderaan mereka untuk bekerja, menyediakan barangan peralatan keluarga serta membina kembali asas ekonomi mereka dengan baik.

“Gesaan ini bukanlah bersifat populis sebagaimana didakwa segelintir pihak, namun ia tercetus atas sifat realistik dan tradisi Umno yang mendahulukan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik serta rasional kos sara hidup yang melambung baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada Ahad, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada KWSP yang berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan memperuntukkan dana serta mengumumkan bantuan yang mencukupi bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara pada ketika ini.

Mengulas lanjut Syed Mohd Johan Rizal berkata, pihaknya memahami kewujudan KWSP ditubuhkan sebagai tabungan hari tua khususnya bagi pekerja swasta di seluruh negara, malah menyambut baik peruntukan RM10 juta yang diumumkan Tengku Zafrul bagi tujuan memulihkan banjir besar yang sedang berlaku di beberapa negeri.

Bagaimanapun, katanya, pihak Kementerian Kewangan diminta memahami kesengsaraan ekonomi rakyat yang belum pulih akibat pandemik Covid-19 dan kesan lain seperti fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak yang terpaksa dihadapi sebelum ini.

Sedang mereka berusaha membina kehidupan kembali, tiba-tiba banjir besar melanda dan meruntuhkan sekali lagi ekonomi keluarga mereka yang sedang dibina. Pemuda Umno berterima kasih atas segala inisiatif bantuan untuk golongan terjejas seperti bantuan kewangan RM1,000 untuk isi rumah mangsa banjir dan lain-lain.

“Kami juga melihat bantuan itu, walaupun dapat melegakan sedikit bebanan, namun ia tidak dapat menampung jumlah kerugian yang dialami mangsa-mangsa banjir berkenaan.

“Contohnya, RM1,000 itu sudah tentu tidak dapat menampung kos untuk mendapatkan barangan rumah yang musnah sepenuhnya akibat banjir, apatah lagi membaik pulih kenderaan mereka yang dianggar melebihi RM4,000,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru