Thursday, May 19, 2022

Siap sedia hadapi perubahan cuaca

Secara Rawak

BENCANA alam seperti banjir besar, tsunami, letusan gunung berapi mahupun gempa bumi adalah perkara yang tidak dapat dielakkan meskipun manusia sendiri mengambil sikap berjaga-jaga.

Kejadian secara semula jadi atau disebabkan oleh tindakan manusia itu sendiri boleh mengakibatkan darurat dan kerugian dari segi kewangan, infrastruktur, malah boleh meragut nyawa.

Kerugian pula bergantung kepada seberapa besar bencana itu melanda sesuatu kawasan mahupun keupayaan penduduk di kawasan itu membuat persiapan dalam mengurangkan impak bencana berlaku.

Ini ditambah pula dengan pemanasan global dan paras air laut yang meningkat tahun ke tahun yang menyumbang kepada berlakunya sesuatu bencana.

Minggu lalu, saudara kita di Lembah Klang ditimpa musibah banjir besar yang bukan sahaja merosakkan harta benda, malah meragut nyawa. Ramai yang tampil turun ke lapangan untuk membantu mangsa-mangsa yang terjejas kelaparan dan kesejukan seperti membawa bot ke kawasan yang ditenggelami air.

Malah ada juga mangsa yang terjejas banjir menunding jari dan menyalahkan agensi yang lewat memberikan bantuan. Kasihan bagi agensi-agensi penyelamat kerana dimarahi oleh mangsa banjir kerana lewat memberikan bantuan untuk pemindahan.

Kita mengharapkan mereka terus cekal dan tabah dalam membantu memudahkan urusan mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

Pun begitu, bagi kita di Sarawak ini, kita juga jangan leka akan amaran hujan lebat dan ribut petir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Memetik laporan akhbar nasional, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan, terdapat tanda-tanda awal luruan Monsun Timur Laut (MTL) dikesan di Sabah dan Sarawak yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan bermula Isnin ini.

Justeru, semua agensi digesa bersiap sedia menghadapi situasi berkenaan yang mungkin boleh menyebabkan bencana banjir khususnya di kawasan Barat Sarawak dan Timur Sabah.

Agensi-agensi yang terlibat sudah semestinya telah mendalamkan sungai dan membersihkan parit, menyediakan bot penyelamat, lori mahupun helikopter sebagai persediaan.

Begitu juga bagi penduduk di kawasan tanah rendah, sentiasa pantau keadaan sekeliling sekiranya berlaku hujan secara berterusan dan peka akan hebahan banjir sama ada di televisyen, radio mahupun media sosial.

Di samping itu, orang ramai disarankan untuk memeriksa  lubang air seperi longkang atau saluran najis agar tidak terhalang dengan sampah sarap dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.

Selain itu, orang ramai juga digesa untuk sentiasa peka lokasi pusat pemindahan dan pusat bantuan bencana di tempat masing-masing. Dalam berdepan bencana banjir, dokumen-dokumen penting harus disimpan di tempat selamat agar tidak dirosakkan oleh air banjir sementara perabot atau peralatan-peralatan lain disimpan ke tempat yang selamat.

Anak-anak kecil harus dipantau sepanjang masa dan ditegah untuk bermain dengan air banjir kerana kita tidak boleh memandang remeh akan arus deras dan ketinggian air.

Meskipun keadaan cuaca pada masa kini yang kurang menentu, orang ramai disarankan untuk sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru