Tuesday, January 18, 2022

Pembeli terus dianiaya, pemaju pula tidak jemu beri alasan

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 28 pembeli rumah di Taman Sri Kenyalang, Matang di sini bosan dengan pelbagai alasan pihak pemaju setelah rumah yang dibeli sejak 2016 masih belum siap.

Kesemua pembeli ini tidak mampu menahan kecewa apabila kediaman yang dibeli juga masih belum menunjukkan tanda siap sepenuhnya dan diserahkan kunci kepada pemilik.

Mengikut perjanjian awal iaitu Perjanjian Jual Beli Rumah (SNP), projek itu akan siap pada 2018 hingga 2020, namun sehingga kini, tiada khabar daripada pihak bertanggungjawab mengenai status projek terbabit yang dilihat seperti ‘tidak terusik’ sejak beberapa bulan.

Wakil 28 pemilik rumah ini, Mohd Yusman Mohd Yusof, 42, berkata, mengikut SNP, ia sudah melangkaui dua tahun.

“Pemaju sering memberikan alasan dari bulan ke bulan iaitu rumah akan siap tidak lama lagi. “Tetapi sehingga hari ini, tiada perubahan yang dibuat oleh pihak pemaju,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Hasil pemerhatian tambah Yusman, sebab utama pemaju enggan menyerahkan kunci kepada pemilik rumah adalah rumah belum siap sepenuhnya.

Manakala, permit menduduki (OP) belum diserahkan, jalan masih belum ditar, elektrik tiada, keadaan rumah juga teruk dan tiada baik pulih dilakukan.

Ujar Yusman, rumah teres yang dibeli ini dilihat terbiar walaupun kebanyakan pembeli menanggung pembiayaan menerusi pemotongan gaji sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, ia terlalu membebankan semua pihak dengan bayaran bulanan yang agak tinggi. “Malah kami terpaksa menyewa kediaman lain dengan sewa yang mahal sekitar Kuching,” katanya.

Yusman berharap kerajaan dapat membantu kumpulan pembeli yang teraniaya ini dan berharap masalah ini dapat diselesaikan pada suku pertama tahun depan.

“Sekiranya pemaju iaitu Multi Heng Development Sdn Bhd masih tidak dapat menyelesaikan masalah ini…kami mahu hak kami, duit kami dikembalikan.

“Kami juga mohon pihak berwajib meneliti semula syarat dan akta perumahan yang dilihat hanya menguntungkan pemaju sahaja dan pembeli tiada pembelaan sekiranya timbul masalah seperti ini,” tegasnya.

Ditanya adakah mereka sudah membuat laporan polis dan tribunal, beliau menyatakan terdapat pemilik telah membuat laporan dan tuntutan tribunal sehingga kes tersebut sudah dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Manakala Islamiah Hashim, 39, turut dukacita apabila impian untuk memiliki rumah seperti yang dijanjikan tidak kesampaian. Katanya, penantiannya sejak projek itu dibina seperti tidak berbaloi kerana sehingga kini masih menetap bersama-sama keluarganya.

“Saya sangat kecewa. Sepatutnya saya sudah duduk di rumah sendiri tetapi projek ini tertangguh, jadi tidak dapat masuk rumah lagi.

“Justeru, saya menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap permasalahan itu dan pemaju perlu menyiapkan rumah seperti yang dijanjikan,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru