Wednesday, August 17, 2022

Belajar urus acara perniagaan

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 18 pelajar Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan, Universiti UCSI menghadiri persidangan pertama Pengurusan Persidangan 101 di Kampus UCSI Kuching, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Place Borneo dan pelatih Mona Manap, kursus pendek ini diperkenalkan untuk mendedahkan pelajar asas perancangan, mereka bentuk dan mengurus persidangan.

“Ia turut mengetengahkan bidang asas dalam pengurusan persidangan seperti belanjawan acara, reka bentuk, pengeluaran acara, acara digital, penajaan, pemasaran dan banyak lagi.

“Malah, ia turut merangkumi kajian kes kehidupan sebenar, praktikal kerja berkumpulan dan pembentangan kumpulan akhir untuk pelajar yang terlibat,” jelasnya dalam satu kenyataan media, semalam. Katanya lagi, bengkel dua hari itu merupakan kerjasama antara Place Borneo dengan Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (Maceos).

Sementara itu, Pengarah dan Perunding Utama Place Borneo Gracie Geikie berkata, kursus ini dilaksanakan dengan harapan dapat mengajar pelajar dan siswazah baharu tentang kemahiran praktikal yang diperlukan dalam pengurusan acara perniagaan khususnya dalam bidang pengurusan persidangan.

“Acara perniagaan mempunyai peranan penting dalam sektor pelancongan dan ekonomi tempatan di Sarawak.

“Justeru, kursus ini dapat memperkasakan siswazah dengan kemahiran yang betul, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka apabila mereka memasuki tenaga kerja,” ujarnya.

Sebagai rekod, Place Borneo adalah penganjur Persidangan Profesional serta Pembekal Latihan HRDF bertauliah yang mengkhusus dalam beberapa program.

“Ia termasuk program latihan pengurusan persidangan dan acara, bengkel perancangan strategik dan program modular pembinaan kapasiti,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru