Tuesday, June 28, 2022

Tiada rungutan di Sarawak

Secara Rawak

BETONG: Advokasi awal amat penting untuk memastikan masyarakat percaya dengan agensi kerajaan jika berlaku bencana buruk.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini menegaskan, pihaknya mempunyai pendekatan tersendiri untuk meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap Bomba dan Penyelamat.

“Insiden banjir yang berlaku pada 2020 dan 2021 di Sarawak, tiada rungutan daripada masyarakat disebabkan oleh mereka bekerjasama dengan kami dan agensi kerajaan yang lain.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, mahupun bahagian berfungsi dengan baik, Jabatan Kebajikan Masyarakat berfungsi dengan cukup baik sehingga mewujudkan satu hubungan yang baik.

“Maknanya, mereka sudah faham misalnya ketika diarah berpindah, mereka berpindah sebab percaya.

“Tetapi yang berlaku di Semenanjung Malaysia baru-baru ini, orang tidak kenal siapa — jadi apabila disuruh berpindah, mereka akan kata siapa hendak jaga rumah? “Ini mungkin disebabkan oleh masyarakat tidak yakin,” katanya ketika ditanya tentang usaha JBPM Sarawak untuk mengurangkan kesan bencana selepas Majlis Apresiasi BBP Betong di sini, pada Khamis.

“Sebaliknya di Sarawak, kita telah membuat program untuk advokasi awal, maka masyarakat bersedia dan apabila diarah berpindah, mereka tidak berdolak dalih,” katanya.

Berhubung sikap segelintir masyarakat yang gemar menangkap video atau gambar daripada menghulurkan bantuan jika berlaku kebakaran, beliau menggesa agar tabiat itu diubah.

“Yang saya gusarkan apabila berlaku kebakaran, masyarakat lebih cepat bertindak untuk berswafoto, mengambil gambar untuk ditularkan agar berasa bangga — sehingga api kecil jadi besar.

“Tetapi saya yakin perasaan bangga itu sekejap sahaja sebagai individu pertama yang menularkan sesuatu insiden, rasa popular. “Sedangkan kesannya lebih buruk — api sepatutnya dipadam dahulu.

Justeru, kesedaran masyarakat itu sendiri amat penting untuk memastikan keselamatan diri sendiri dan masyarakat sebab jika entiti ini dibuat dengan cukup baik, kita boleh nampak apa yang berlaku di Jepun, Australia, New Zealand,” tambahnya.

Menjelang perayaan Krismas yang akan disambut esok, Khirudin mengingatkan masyarakat agar mengelakkan sindrom 3L iaitu lupa, lalai dan leka. “Tidak kira lapiran usia, pastikan tiga elemen itu jangan ada.

Bagi yang dewasa, ingatkan anak-anak, bagi yang faham tolong ingatkan rakan-rakan kita yang lupa,” tambahnya. Beliau pada majlis tersebut turut menyampaikan sijil penghargaan kepada dua orang awam yang menjadi ‘hero bomba’ selepas tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan kediaman daripada terbakar.

Selain itu penyerahan geran RM3,000 kepada PBS Lubok Antu. Khirudin juga sempat melancarkan Kalendar JBPM 2022. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Sarawak Henderi Ardimansyah, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga Sri Aman Ramlan Marajan serta barisan Ketua BBP Sri Aman, Betong dan Saratok turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru